Thursday, June 22, 2023

Abah Kuat

Anak kunci dimasukkan di dalam lubang kunci. batang kunci aku pulas ke kanan. pintu gril dibuka.

"Assalamualaikum!" aku jerit. namun tiada balasan.

Ben dan Opie berpusu pusu masuk kedalam rumah.

"Aschkum Tomi Baba!" jerit Bento. haih budak kecik comel dah lah lari macam Naruto. Sophie hanya bersahaja, meletakkan beg perlahan lahan dan masuk ke dalam rumah.

kalau dua minggu lepas akan ada sahaja abah berada di ruang tamu menunggu kepulangan aku dan dakapan cucu kesayangan. sekarang ruang tamu kosong. kipas tidak berpusing. bunyi klip video ceramah yang dipasang pada telefon pintar sudah tidak kedengaran. 

aku menyusun selipar Sophie dan masuk ke dalam rumah.

di ruang tamu kelihatan satu susuk tubuh lelaki berumur bersila di atas lantai, bersandar pada kerusi kesayangannya. Ben dan Opie baru sahaja selepas memeluk Baba mereka sebelum terus menerjah ke ruangan permainan.

"abah okay?" aku merangkul tangan abah, mencium belakang telapak tangannya seraya memeluk tubuh kurus itu. 

"okay, panas." jawab abah ringkas sambil tersenyum. matanya seakan keletihan melihat aku. aku hanya mampu membalas senyumannya.

"abah buat apa hari ni? ada orang datang melawat tak?"

"tak ada," abah jawab bersahaja. dia mula mengambil telefon pintarnya dan membuka aplikasi whatsapp. jari jemarinya menggelintar di skrin paparan. abah kelihatan tengah membuang perbualan perbualan lama daripada group group kerjanya. aku memerhati gerak jarinya, risau kalau kalau dia menyahpasang aplikasi whatsapp sekali lagi tanpa sedar.

telefon pintar diletakkan. abah melempar pandangan ke luar rumah melalui pintu gelangsar disisi rumah.

"psst! psst!" ummi mencicip dari dapur sambil memberi isyarat supaya aku datang ke dapur.

Aku mendekati ummi. wajahnya risau.

"abah macam pelupa sekarang ni. buat kerja macam tak tahu apa. duduk je seharian. kira kira duit banyak kali, cakap seorang diri. tanya benda sama walau dah diterangkan berulang kali."

"rileks ummi. sabar. abah kan baru keluar ward. dia baru je terkena kecederaan otak. mungkin serangan kali ni berat sikit daripada sebelum ni insyaAllah abah okay. bagi dia masa okay?" aku cuba menenangkan ummi. 

matanya diangkat lalu Ummi tersenyum kearah aku. "baiklah"

aku membalas senyuman ummi. bahunya aku rangkul tanda bertahan.

walau tiada siapa tahu betapa risaunya aku dengan abah ketika itu.

bagi abah masa. okay.

"abah tadi cakap, dia tak tahu nak baca apa dalam solat, tak tahu nak solat macam mana", ummi sambung.

"okay. nanti Ih akan solat sekali dengan abah, okay?" aku membalas kegusaran ummi. 

selepas solat asar, aku membawa abah berjalan jalan di sekeliling rumah. ni sudah kali ke berapa aku mengajaknya dan hanya hari ini abah setuju untuk turun meninjau kawasan rumah.

aku pimpin lengan tua abah yang penuh berurat. kulitnya sudah melabuh. aku sudah lupa bila lagi lengannya sekurus ini. urat urat tangan mula jelas kelihatan. 

Abah memilih untuk berjalan sendiri, dan aku mengekorinya dengan perlahan daripada belakang.

rumput dan semak liar mula menjalar malah mula menjadi permaidani di kawasan konkrit. cili cili yang ditanamnya kebanyakannya sudah kemerahan malah ada yang sudah menjadi jingga mereput dan gugur ke tanah. daun daun pudinanya habis mati tak disiram air, tambah lagi dengan cuaca panas Kota Bharu seminggu dua ni. daun kucai semua kering. kolam ikan mula dilitupi lumut lumut.

"haa abah baru seminggu tak jenguk rumah dah jadi macam ni" aku cuba berseloroh.
"mmm." abah hanya tersenyum.

setelah meninjau kawasan belakang rumah, abah kembali ke sofa malasnya. nampak penat.

terasa sedikit lega. hari abah sedikit produktif berbanding semalam, aku kira. 

"alhamdulillah", getus hati kecil ku.

esok kita cuba lagi okay? abah pernah kena strok dalam 2009. tapi ketika itu aku tiada disisinya sebab aku belajar jauh di luar negara sana. kali ini aku bersyukur aku mampu hadirkan diri untuk bersamanya menempuh ujian ini.

teringat aku perbualan ringkas kami ketika hari hari awal abah dimasukkan ke ward.

"kenapa? kenapa abah boleh sakit macam ni?", soalan terpacul daripada mulut abah. matanya mengharap jawapan. tidak pernah aku lihat matanya berkaca seperti itu.

"sebab abah kuat", aku balas, ringkas.





abah okay. abah kena kuat je. 






-M