Tuesday, March 18, 2014

Assalamualaikum


raikan lah hujan. hujan bukan datang untuk menerima cemuhan daripada manusia. turunnya hujan membawa rahmat, kepada kita. kepada semua.


semenjak dua menjak ni semenjak hujan mula turun setelah lama Malaysia bergelumang dengan jerebu, abang sulung saya suka ambil gambar anaknya (dan post dekat gerup whatsapp family) yang dua orang tu, melukut di tepi gril pintu depan rumahnya untuk melihat hujan. membau hujan. merasa hujan.

gituhhh.

dua orang tu duduk saja disitu sehingga hujan berhenti, dan juga sehingga mereka berasa boring. tetapi boleh dikatakan, apabila hujan turun, dua orang budak buas tu akan berhenti bermain dan pergi ke depan pintu, dan duduk diam bersama selama mana hujan itu turun.

tetiba ummi menyampuk: daddy dia dulu pun macam ni juga.

hehehe. abang saya tersengih.

saya pun suka hujan.

sebenarnya banyak hikmah hujan ni sebenarnya, sesuai lah dengan nama timangannya, rahmat keseluruh alam. (ye ke ada nama timangan gitu? saya reka je.)

mula mula sekali, mari kita tengok proses penciptaan hujan.

hujan adalah cecair yang terhasil daripada proses kondensasi di dalam awan, dan turun setelah beberapa lama dikandungkan oleh awan. seterusnya...

ah. anda semua tengoklah gambar di bawah ni. malas pulak nak mengulasnya.


familiar bukan gambar seumpama ini. seharusnya! benda ni korang tengok dalam buku teks sains sekolah rendah lagi okaaay. *tetiba*

pendek kata, begitulah bagaimana hujan terjadi. kitaran ini telah berlaku selama mana bumi kita ini hidup, dan tidak pernah berhenti. lainlah kalau di afrika sana. anda semua tahu lah kan, situ sumber air tak power sangat. sebab itu lah kita ini kena bersyukur.

tahu?

sebelum wujudnya diagram seperti diatas, Allah sebenarnya, selain daripada 'menzahirkan' proses kitaran hujan, Dia juga telah berfirman tentang ini di dalam kitab suciNya lebih lama lama lama lama dahulu. tak percaya? kejap ye.





nah!



Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan; kemudian Allah menyebarkan awan itu di langit sebagaimana yang dikehendakiNya, dan menjadikannya berkelompok-kelompok; lalu engkau melihat hujan keluar dari celah-celahnya. Maka apabila Allah menurunkan hujan itu mengenai sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambanya, mereka serta merta bergembira
Ar Rum: 48

seperti yang kita sudah sedia maklum, terlalu banyak kebaikan hujan, bermula daripada setiap prosesnya seperti, proses penyejatan wap air dapat meningkatkan kadar air didalam udara, sejurus menyebabkan udara menjadi sejuuuuuk. proses pengumpulan wap air yang akhirnya membentuk awan kumolonimbus yang dapat meredupkan hari yang panas, proses hujan itu sendiri, dan baaaaanyak lagi. 

anda boleh baca kepentingan hujan di wikipedia, google, dan sebagainya. 

kali ini saya nak bercerita pasal kepentingan hujan juga, tetapi versi lain sedikit. 

eheh. *betulkan kerusi, luruskan belikat*



(Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu). Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan Syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan).
Al-Anfal: 11

kalau perhatikan betul betul ayat ni, Allah telah menlamputinggikan tiga kepentingan hujan kepada kita.

nombor satu: hujan itu adalah untuk mensucikan kita
nombor dua: mengelakkan dari gangguan syaitonnirrojim
nombor tiga:  menguatkan hati dan menetapkan pendirian kita.

Pelajaran 1: HUJAN ITU ADALAH UNTUK MENSUCIKAN KITA

suci atau quddus ini boleh dibahagi kepada dua, iaitu kepada fizikal dan spiritual atau hati. kalau masuk bab fizikal, contohnya tampak jelas. seorang lelaki yang tubuhnya berlumuran lumpur, dan apabila hujan turun, air hujan membasahi tubuhnya seraya membersihkan tubuhnya. itu jelas.

bagaimana dengan spiritual? boleh dibahagikan kepada pemikiran kita, dan juga hati kita.

hujan mula memberi kesan pada akal, satu, melalui haruman hujan yang menyegarkan, dan dua, hujan sangat membuka mata bagi seseorang yang suka berfikir. mindanya terbuka, dan mulutnya seraya berkata "alhamdulillah" sebab dia tahu, hujan yang turun, merupakan nikmat kepadanya. nikmat yang dia nampak mahupun tidak. hujan membersihkan fikirannya dari lalai kepada Tuhan. hujan membuatkan dia nampak akan kebesaranNya, dan sejurusnya, ia membawa kepada pembersihan hati, di mana seseorang itu mula mensyukuri.

Pelajaran 2: MENGELAKKAN DARIPADA GANGGUAN SYAITAN YANG DIREJAM

daripada pengajaran yang pertama, kita tahu bahawa hujan akan menyucikan hati dan tubuh kita, luaran dan dalaman. apabila tubuh sudah bersih, tiada najis, sudah tentu akan dibenci syaitan. apabila hati yang dibersihkan pula dengan mengingati Allah, sudah tentunya akan menghilangkan selera syaitan untuk mendekati kita.

masa saya kecil dan comel dulu, abah ada cakap. kalau masa tengah hujan dan ada kilat sabung menyabung, maknanya malaikat sedang melontar halilintar kepada syaitan. hehehe. ini juga boleh dijadikan musabab kenapa kita dijauhi syaitan ketika hujan.

lagipun, bukankah syaitan itu terjadinya daripada api, dan hujan itu jasadnya daripada air?

Pelajaran 3: MENGUATKAN HATI DAN MENETAPKAN PENDIRIAN

saya tidak tahu lah pelajaran tiga ni boleh diapply kepada anda semua ataupun tidak. tetapi saya? sangat sangat. hehe. banyak keputusan saya, pemikiran saya, terhasil daripada hujan. hujan membantu saya lebih fokus, dan berfikir dengan lebih luas. aura hujan membuatkan saya rasa lebih determine.

saya ada satu soalan.

katakanlah kalau ada satu hari tu, anda terperangkap di dalam hujan. dan anda tiada kenderaan, melainkan berjalan sahaja untuk ke destinasi. apa yang hinggap di kepala anda di kala itu? (selain daripada fikir bagaimana nak balik cepat)

biasanya kita akan cenderung untuk memikirkan perkara yang besar didalam hidup kita. sama ada membuat pilihan, atau merancang masa depan. ataupun berfikir tentang sesuatu yang tidak kita fikirkan di waktu lain.

betul tak?

lagipun kalau kita tengok cerita melayu, mahupun cerita orang putih, untuk kelihatan kononnya dramatik, banyak keputusan mereka buat ketika di dalam hujan, termasuk lah melafazkan cinta, berdrama, bernyanyi dan banyak lagi benda yang orang normal tak buat selain artis di dalam tv, ketika di dalam hujan. itu menunjukkan mereka bersetuju bahawa perasaan lebih tertumpu ketika di dalam hujan.

giiiituh.

paham tak? kalau tak faham....errrr...... *lari*



hiks.

hujan itu rahmat kepada sesiapa yang Dia kehendaki. memberi rezeki kepada sesiapa yang ingin mensyukuri. hujan akan membawa keluh kesah kepada orang biasa, dan memberi impak gergasi kepada orang yang luar biasa. iaitu orang yang berfikir.

raikan lah hujan. hujan bukan datang untuk menerima cemuhan daripada manusia. turunnya hujan membawa rahmat, kepada kita. kepada semua.

Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, hujan turun membasahi kami (para Sahabat) dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa alihi wasallam. 

Maka Rasululullah shallallahu ‘alaihi wa alihi wasallam membuka bajunya sehingga hujan membasahi beliau, maka kami bertanya, “Wahai Rasulullah untuk apa engkau berbuat seperti ini?”, beliau menjawab:

“Karena sesungguhnya hujan ini baru sahaja Allah taala ciptakan.”

Nabi besar junjungan Muhammad SAW meraikan hujan. bagaimana dengan kita?









wassalam.

Mofar Rahman