memang lumrah yang telah ditetapkan tuhan, dalam setiap tahun kalendar Islam, akan ada satu bulan. bulan yang ada seribu satu rahmat. bukan seribu satu, lebih banyak lagi. tapi nak gambarkan rahmat yang sangat banyak, saya simbolkan sebagai seribu satu. bulan yang keberkataan boleh dikata tiada sempadan. melangit, melebar sebesar alam. satu bulan yang penuh keberkatan. ya. bulan ramadhan. juga dikenali sebagai bulan puasa, dan juga pesta ibadah bagi golongan yang suka buat pahala.
Allahu.
satu hadis femes yang pasti akan kedengaran di masjid, dalam usrah, mahupun di radio, serta di kaca televisyen, biasanya rancangan Tanyalah Ustaz di TV9 tu, yang maksudnya berbunyi begini.
“Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi saw telah bersabda : “Apabila datangnya Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai/dibelenggu para syaitan.”
(H.R. Bukhari dan Muslim)
sekecil dulu sehingga beberapa lama umur saya meningkat, saya selalu fikir, bagaimana syaitan yang dibelenggu? dirantai? diseret kesana kesini dalam neraka? kalau dibelenggu, ditangkap, maksudnya, semua syaitan lah yang diikat, kan? maknanya juga, tiada lagi lah syaitan, berlari lari di atas muka bumi ini, kan? maknanya juga, sepanjang bulan ni, manusia tidak akan berbuat jahat lah kan? begitu?
tapi, kenapa masih ada kejahatan berlaku dekat muka bumi ini?
setelah sekian lama saya dengan pemikiran begitu, tiba tiba saya tergerak untuk mengetahui lebih dalam tentang hadith ini. dan mengapa masih berlaku kemaksiatan di bumi ini, seandainya si syaitan laknat telah dibelenggu.
hakikatnya, syaitan yang berkeliaran di sekeliling kita, yang berlari kesana kesini mencari mangsa untuk menghasut, semua itu diikat. kalau kita boleh menerjah ke alam ghoib, dunia ini pasti sunyi sepi tanpa hilai tawa syaitan. yang hanya bunyi cengkerik yang duduk mengkrikk krikk. dah memang itu kerjanya. tetapi, tidak syaitan yang berada dalam tubuh kita. iaitu syaitan yang berada dalam diri kita, hidup dengan kita, dan membesar dengan kita, seiring dengan nafsu kita. faham tak? tak faham, fahamkan. malas nak terangkan banyak kali.
jika dibulan lain, syaiton laknat bebas menghasut dan berpeleseran kemana hala, dan jitu bekerjasama dengan syaitan yang sememangnya ada dalam tubuh setiap manusia, untuk melakukan maksiat kepada tuhan. ditambah pula dengan fitrah nafsu yang memang sukakan perkara yang tak cantik, memang pakatan syaitan itu, boleh dikatakan mudah untuk menumbangkan seseorang, jika seseorang itu punyai iman. iman yang berlubang. lagi teruk kalau iman tu rapuh.
di bulan ramadhan, bila semua syaitan diikat, maka yang tinggal, kita seorang sahajalah. maka, musuh kita sekarang, adalah musuh yang lebih nyata daripada syaitan, iaitu kita sendiri. kita yang hidup yang mempunyai hawa nafsu dan syaitan kita sendiri. pendek kata, di bulan ini, kita tiada godaan luaran, yang ada, hanya diri sendiri.
sekarang, kita boleh nilai diri kita sendiri, bagaimana, dan siapakah kita. berbeza kah maksiat kita pada bulan ini, berbanding dengan bulan yang lain? berbeza kah amalan baik dan buruk kita, pada bulan yang sebelum ini yang mempunyai seribu satu jenis godaan luaran untuk berbuat jahat, dengan pada bulan ini iaitu bulan ramadhan yang tiada satu godaan luaran pun, melainkan diri kita sendiri?
kita boleh dikira bernasib baik juga lah andaikata, kejahatan kita di bulan ini, seakan berkurang, berbanding dengan bulan yang lain. daripada suka mengumpat, kita lebih suka diam dan berkongsi perkara cantik, daripada suka mencuri kita lebih suka duduk diam, dan seumpamanya. maksudnya, diri kita yang sebenar, tidak lah sejahat seperti kita bayangkan. diri kita pada bulan ini, adalah tulen.
dan sangat menakutkan dan menyedihkan, kalau diri kita pada bulan ini, sama dengan bulan lain, dari segi melakukan amalan buruk, serta maksiatnya. tiada apa yang berubah.
faham?
sebab itu lah, bulan Ramadhan, juga dikenali sebagai bulan ujian. bulan yang sengaja Allah bukakan peluang bagi hambaNya untuk membuktikan kepada Allah bagaimana keadaan dirinya tanpa hasutan dan godaan syaitan, seperti di bulan bulan yang lain. bulan Allah menguji hambanya, bukan setakat ujian lapar dahaga serta nafsu syahwat, tetapi juga ujian bagi hambanya untuk melawan diri sendiri. melawan nafsu. melawan kejahatan yang membesar bersama samanya. supaya hambaNya dapat menjadi seorang muslim yang lebih baik, berbanding sebelum ini.
sebab itu, bulan Ramadhan, dikenali sebagai bulan rahmat. bulan kasih sayang. bulan di mana Allah menunjukkan kepada hambaNya, betapa kasih sayangNya, dan betapa Dia menginginkan hambaNya untuk menjadi lebih baik. kepada siapa Allah mahukan hambaNya lebih baik? kepada Dia? tidak. tidak goyahnya kedudukan Allah kalau hambaNya itu tidak berubah sekalipun. Allah hanya mahukan hambaNya itu menjadi lebih baik, tidak lain tidak bukan, hanya untuk diri hamba itu sendiri.
siapa hamba itu? kita. kita lah yang Allah uji tu.
sekadar berkongsi pendapat. moga kita menjadi hamba yang lebih baik pada bulan ini. doa doakan lah. wallahualam.
Mofar Rahman.