Thursday, November 22, 2012

Kronologi kawan kawan

Assalamualaikum.

aku tahu, aku sepatutnya sekarang perlu berperang dengan buku. kuatkan tangan. tolak birai buku di kedua dua belah. buka buku sehingga terlentang. paksa mata aku buka, tengok. perhati setiap huruf yang tercetak di kertas A4 putih. ah bosan. aku gerakkan tangan. capai tetikus yang tak berapa nak jauh tu. kelik kelik. dan buka facebook. aku terasa nak stalk seseorang. dan aku pergi dekat ruangan search, dan mula menaip namanya. dann...

namanya tidak keluar.

siapa rapat dengan dia? I need to know something.

*menulis nama kawan baiknya yang juga kawan aku*

"No result found"

haih. aku mengeluh.

bersandar balik pada kerusi kayu yang tidak pernah nak empuk tetapi selesa tu, aku menarik nafas. dan aku tatap balik. berlawan dengan ilmu. tarik tarik masuk otak. ah kau, degil! *tutup buku*

dan disinilah aku terkandas.

suara abang aku terngiang di telinga.

"hidup ni, macam ni lah. zaman paling best, adalah zaman sekolah menengah. ramai kawan yang dapat faham jiwa kita. ramai kawan yang baik, satu kepala. naik je universiti, kawan kawan macam tu sudah kurang. ada. tapi kurang. semakin kita membesar, kita hilang kawan yang rapat. kawan untuk bersuka ria, ramai. kawan yang memahami suka duka, kurang. hampir tiada. kita habis belajar, masuk kerja, kawan yang kita kenal dulu, semakin kurang. bila dah kahwin, tinggal isteri je lah yang rapat dengan kita. paham kita. kawan kawan? semua dah ada hidup masing masing. itu pun kalau isteri seorang yang memahami. kalau tak, kita akhirnya berseorangan. mati pun. dalam kubur lagilah."

aku perhatikan tisu yang tergumpal di atas meja. aku terfikir, dimana relevan pendapat abang aku itu. aku membelek jujur hidup aku. satu persatu. ya. aku sedang menjalani satu persatu fasa yang telah di kemukakan oleh abang.

aku sejak sekolah dahulu, aku ramai kawan. kawan baik aku, seramai 7 orang. orang yang memahami jiwa aku. orang orang yang bila aku senyum, mereka semua sudah boleh agak satu persatu apa pikiran yang ada dalam kepala otak aku ini. cantik ke tidak perangai aku, semua diterima kawan kawan aku itu. oh. indahnya dunia remaja yang tanpa masalah besar itu. selepas itu, aku habis belajar di sekolah menengah, menetap sekejap di fakulti persediaan untuk ke luar negara, dan aku terbang ke bumi komunis.

sampai disni, 5 tahun aku menghidup udara di bumi komunis. dengar, kenal, lihat kawan yang baru. memahami jiwa orang yang tidak pernah memahami jiwa aku. sepanjang tempoh itu, aku kehilangan kawan kawan aku, satu persatu. baik dari segi individu itu sendiri, ataupun aku hilang dari segi 'hati'nya.

kenapa hilang hati?

bila aku pulang ke malaysia, aku sering diajak kawan kawan baikku di kampung. ajak keluar minum air. makan rojak ayam, berbuka puasa, dan sebagainya. gelak masih sama, bercerita masih sama. jujur, perasaan dan hati itu sudah lain. kami duduk bersama, dan kadang kadang kami terdiam. memerhati masa yang telah membawa hidup masing masing. kami sudah, tidak seperti dulu. berkongsi hati, sudah jarang sekali.

disini, aku mempunyai ramai sangat kawan, kenalan. semua apabila diajak untuk berkongsi kegembiraan, tidak perlu menyebut nama, semua datang dengan sendiri, sukarela. apabila hendak berkongsi hati, semua lari, hilang entah ke mana. sudah beberapa tahun aku mencuba mencari, paling tidak pun, seorang untuk aku bercerita, tapi aku tidak jumpa. selepas sekian lama, aku menutup ruang tersebut kepada semua orang. hati aku sudah lelah mencari telinga yang ingin mendengar. aku mendidik hati aku perlahan lahan. aku mula membina dunia aku sendiri.

"no one ever live to please you"

aku bangun, dan gagahkan hati, untuk menjadi pelari di dalam kehidupan ini, untuk hidup sendiri. tidak lah bermaksud aku ini seorang yang sombong bongkak malaun bagai. aku wujud dalam masyarakat, senyum di dalam kumpulan kecil, bergembira bersama 'rakan rakan'. aku boleh menjadi tempat untuk bercerita masalah, mengadu, dan sebagainya. tetapi untuk berkongsi apa yang ada di benak aku, aku diam. aku sudah letih mencari orang untuk dipercayai. sekarang, aku hanya simpan untuk aku sendiri.

meluah pada Tuhan? terbaik.

aku, rindu. pada seorang sahabat.

dalam kalangan kawan baik ku, ada seorang yang datang ke rumah ku, bawa aku keluar menghirup bayu malam. bercerita kepada aku tentang Tuhan, kehidupan, Islam, nikmat hidup, dan kegembiraan masa lalu. masing masing mengorek cerita lama untuk dibual kembali, memecah sunyi malam. aku rindu pada sahabat aku itu, apabila dia menghantarku pulang, dia berikan aku nasihat kepada hati. apabila aku sampai di tangga rumah, dia keluar dari keretanya dan memanggil aku, dekat kepada aku, dan memeluk aku.

"aku rindu padamu, teman. kuatkan lah hatimu untuk hidup yang tak indah ini. sabar. dan kuat. Allah ada. Dia akan balas. jangan lupa tu. dan kalau kau ada ilmu, sampaikan, walau sedikit"

matanya berair.

"sudah lama kita tidak berjumpa, masa mengubah kita sudah banyak kali. tetapi dengan ukhuwah kerana Allah ini lah yang membuat kita ada hari ini. kalau kau dalam kesusahan, cari Allah dahulu, baru cari aku. aku ada untuk kau sahabat"

aku diam. mata aku memerhati sehingga lampu merah belakang keretanya hilang dari pandangan aku. jam sudah pukul 2.30 pagi. dan aku masih berada di kerusi batu di hadapan rumah. terduduk, diam. dan.



menangis.