Wednesday, October 31, 2012

Sarah dan Hajar (part 1)

“Nanti Kak Ngah akan telefon Hajar yea bila Kak Ngah sudah sampai Penang. Hajar jaga diri!”.

Hajar diam. Matanya sibuk memerhati titisan-titisan air hujan yang terkena cermin kereta, mengalir turun ke dasar, seakan berlumba sesama sendiri. Tiada sebarang respon kepada pesan kakaknya itu. Pintu kereta dibuka dengan perlahan, dan Hajar mula menjejakkan kaki kanannya di perkarangan sekolah, setelah hampir seminggu tidak menampakkan diri di tempat pengajiannya itu.

Hajar menggalas sebuah beg converse berwarna merah. Di tangan kanannya di pegang erat tali beg pakaiannya. Agak lama dia berdiri. Kelibat kereta kakaknya juga sudah tiada. Wajah Hajar suram dan berkerut, seakan-akan tiada lagi harapan baginya untuk senyum kembali.

Samar samar di celah titisan hujan yang renyai renyai kelihatan di depan pagar besar sekolah, ada seorang perempuan. Tubuhnya halus, wajahnya mulus. Ada sebuah beg sendeng, tersendeng kemas dibahunya. Di tangan kanannya memegang sebuah file berwarna biru. Terdapat beberapa kesan contengan di hujung lengan baju kurung sekolahnya. Di tangan kirinya memegang payung. Sudah lama dia disitu, memerhatikan sahaja kereta Satria Neo tersebut. Melihat sahaja Hajar keluar daripada kereta, bibirnya tersenyum. Menarik hela panjang, Sarah memulakan langkah pertama.

Sarah mendekati Hajar dengan laju. Begnya dirapatkan ketubuh. Risau pula hujan membasahi nota-nota kelasnya. Sarah tidak dapat melihat dengan jelas wajah Hajar. Cermin matanya basah dengan air hujan. Hendak juga dilap, tetapi tidak cukup tangan. Ah, redah sahajalah!

“assalamualaikum Hajar!” Sarah seakan-akan menjerit, risau suara kecilnya tenggelam bersama titisan hujan. Wajahnya yang berkerut cuba melihat Hajar. 

“…kau buat ape dekat sini?”

Perasaan gembira Sarah sedikit terjejas. Dipaksakan juga untuk senyum walaupun dia sendiri tidak pasti Hajar nampak ataupun tidak.

“saya datang nak ambil awak! Hujan niii! Basah awak nanti! Jom lah balik ke asrama sama sam-…”

“kau ingat aku lembik sangatke?!” Hajar memintas laju. 

“kau ingat aku lemah macam kau? Weh. Aku ada kaki laa. Aku boleh jalan sendiri. Aku tak mati lagi lah!”

Mata Sarah membulat. Suaranya tersekat-sekat.

“H..Ha..jaa..r…?”

Hajar meninggalkan Sarah keseorangan, meredah hujan masuk ke dalam kawasan sekolah.

Sarah tergamam. Mulutnya diam. Suara Hajar masih terngiang-ngiang di telinganya. 
“oh, sahabatku..”. 
Sarah berjalan perlahan melawan angin yang membawa hujan yang semakin lebat. Payungnya yang cukup besar untuk memayungi dua orang itu, disangkakan cukup untuk mengelakkan dirinya terkena renjisan hujan, tetapi mengapa masih ada air yang mengalir dipipinya? Sarah mula berlari.