Showing posts with label Cerita. Show all posts
Showing posts with label Cerita. Show all posts

Monday, December 16, 2024

Tok! Tok! "Bangun!"

suara menembusi pintu bilik yang tidak tebal mana itu. 

aku bangun dengan penuh kemalasan, tapi ada satu acara yang aku kena hadiri hari tu.

aku adalah antara orang penting untuk acara tersebut.

baju melayu cekak musang aku pakai segak bersama kain pelikat usang warna kelabu cerah dan hijau, dilipat dua dijadikan sampin hingga paras bawah lutut. songkok lipat aku tepuk berkali kali untuk menghilangkan hama dan debu halus. aku sarungkan di hadapan cermin kecil dibelakang pintu bilik. aku tak pasti apa reaksi wajah aku ketika itu namun apa yang jelas adalah aku sangat nervous. haha.

aku ke dapur untuk menemui ummi setelah berpakaian segak. bau pulut kuning semerbak memenuhi atmosfera rumah separuh batu separuh kayu itu. pulut kuning sudah sedia terbentuk hemisfera, dicucuk telur rebus. aku kira, lebih 10 aku rasa. 

pukul 730 pagi kami diarah untuk berkumpul di masjid kampung Taman Wangi. ramai sungguh manusia ya. kenderaan siap diparkir kiri dan kanan, ada motor dan ada juga kereta. yang pasti ramai pejalan kaki memenuhi jalan bertar itu.

suasana pagi nyaman dengan sinaran mentari yang suam suam kuku mula menyentuh dahi aku. 

"Faizzuddin! Mari masuk barisan!"

aku berpaling. ternyata Cikgu Othman memanggil aku untuk menyertai geng geng berpakaian segak. ada laki laki, ada juga perempuan. ada dua cikgu memegang sepanduk dan bunga manggar. aku berpaling dan nampak abah disamping kumpulan ibu bapa yang lain di birai jalan.

tepat pukul 8 pagi kami mula berarak masuk ke perkarangan masjid sambil mengalunkan selawat kepada nabi tercinta Muhammad SAW. perarakan berakhir di halaman masjid, dan geng geng pakaian cantik mula masuk ke dalam. kami didudukkan dalam posisi bulatan, dalam lebih kurang 20 orang. dalam 20 orang itu aku rasa aku yang paling muda, iaitu 9 tahun. Darjah tiga.

rehal dibawa dari rumah, dikangkangkan di depan aku. kitab suci alQuran di bentangkan diatasnya. surah Ad-Dhuha dibuka. 

majlis dimulakan dengan surah Al-Fatihah, dan disusuli dengan bacaan surah ad-Dhuha dan berterusan sehingga surah terakhir dalam al Quran.

sekitar pukul 11 pagi, majlis khatam al-Quran peringkat Sekolah Kebangsaan Sri Wangi tamat dan orang ramai mulai bersurai. aku terus mencari abah, dan kami pulang bersama menaiki motor honda 50 sen nya itu. 

begitulah serba sedikit memori berusia 24 tahun yang aku cuba zahirkan. memori yang malu malu muncul ibarat sinaran mentari yang malu malu memunculkan diri di celah awan tebal tengkujuh. aku tidak ingat dengan jelas apa yang keluarga aku buat afterward, tapi yang aku pasti mereka sangat bangga dengan aku, dan aku pasti itu. sampai ke hari ni mereka ungkit acara ini depan anak anak dan anak saudara aku. 

jujurnya, aku berasa gembira dapat banggakan mereka walau dengan kejayaan yang kecil, hingga hari ini.

hari ni adalah hari dimana aku sudah khatam Quran untuk kali keenam dalam hidup aku. tidak apa yang ingin dibanggakan. sesungguhnya aku malu, sepatutnya dengan umur aku ini, khatam alQuran patutnya lebih dari itu. 



A.M.

Tuesday, November 19, 2024

Braaa!!!


Air paya yang tenang tiba-tiba berkocak tidak keruan. Jefri muncul tercungap-cungap di permukaan paya dengan mata yang merah. Rambutnya penyet. Dia mengambil nafas sepuas-puasnya sambil mengamati persekitaran yang dia sendiri kurang fasih. Apabila merasakan keadaan sekeliling selamat, Jefri berenang meluru ke tebing berhampiran. Kalau diperhatikan betul-betul, renangannya ada juga sedikit-sedikit gaya Jeffrey Ong.

Di atas tebing paya, Jefri terlentang keletihan sambil merenung langit malam yang hitam. Betul-betul hitam. Dadanya masih berombak di dalam pakaian yang basah kuyup. Dalam situasi begitu dia sudah tidak fikir lagi soal kebersihan, keselamatan dan keselesaan baring di atas tanah. Dia juga menyerahkan sahaja segalanya kepada takdir andai terbaring di atas kala jengking.

“Main kasar betul Mak Cik Lofa ni. Tendang pasu pun nak berkira.”

Dari tempat pembaringan Jefri, sesekali kedengaran bunyi kenderaan lalu-lalang memecah kesunyian. Ini menandakan dia tidak jauh dari jalan besar. Fikiran Jefri mula positif. Dia perlahan-lahan bangun meredah semak samun dan belukar menuju ke arah jalan besar.

***

Ketika malam kian mendalam, seorang pemuda yang basah kuyup berdiri dengan penuh harapan di bahu jalan. Tiada sebarang kenderaan melintasinya sejak tadi. Namun dia tetap percaya bahawa sebentar lagi pasti akan ada kenderaan untuk ditahan. Keyakinannya itu membuatkan dia masih teguh berdiri di situ walaupun kakinya sudah lenguh.

“Celaka, masa aku baring tadi dengarnya bukan main banyak kereta lalu-lalang.”

Jefri menyepak-nyepak batu kerikil di bahu jalan. Barangkali dia mahu melegakan kaki. Atau boleh jadi juga dia mahu melegakan kepalanya yang masih mencongak tentang kehilangan rumahnya.

Tidak berapa lama, nun jauh di sebalik selekoh kelihatan satu cahaya yang terang-benderang muncul. Semakin lama cahaya itu semakin hampir seolah-olah seperti sebuah pesta ria yang bergerak. Jefri tersenyum dalam menahan mata yang kesilauan.

Pishhh!!!

Sebuah trak berkren berhenti benar-benar di hadapan Jefri. Trak berkren yang berwarna kuning dan bertompok-tompok hitam itu sungguh besar. Panjangnya lebih kurang lima belas meter. Ketinggiannya termasuk leher kren yang melintang sejajar dengan pelantar trak boleh jadi lebih empat meter, manakala lebarnya pula mencapai tiga meter. Jumlah keseluruhan tayar pada trak itu kira-kira sebanyak dua belas biji yang mana enam terdapat di bahagian kanan dan enam lagi di bahagian kiri.

“Amboi besar betul. Kalau pancit ni entah macam manalah nak tukar tayar,” bisik Jefri.

Di sebalik leher kren trak itu kedengaran pintu di bahagian pemandu trak dibuka. Sebuah lagi pintu di bahagian belakang iaitu kokpit operasi kren turut kedengaran seperti dibuka. Kurang sepuluh saat, tiga orang pemuda yang samar-samar wajahnya muncul berdiri di atas leher kren. Jefri mendongak ke atas leher kren, menelan air liur.

“Apa khabar, saudara? Hendak ke mana malam malam begini?” Tanya salah seorang daripada mereka yang berdiri di tengah. Suaranya seperti orang baik-baik.

“Bang, nampaknya dia basah kuyup,” bisik salah seorang kepada pemuda yang mula-mula menyapa Jefri.

“Tentu dia kesejukan,” tambah seorang lagi yang agak gempal paras tubuhnya.

Pemuda yang berdiri di tengah-tengah mengangguk kepala beberapa kali. Matanya memandang Jefri dengan bersungguh-sungguh. Dia mara sedikit ke hadapan lalu terjun ke pelantar trak. Pendaratannya cemerlang tanpa sebarang keluhan. Sungguhpun begitu, sakit di dalam siapa yang tahu.

“Saya sebenarnya baru keluar dari sesat di dalam hutan. Kalau diizinkan saudara bertiga, saya mahu tumpang ke bandar,” jawab Jefri kemas dan cerdas.

“Oh apa salahnya, kebetulan kami memang gemar membantu. Silakan naik, saudara,” serta-merta pemuda yang mungkin kapten trak itu mempelawa naik sambil menunjukkan tempat untuk memanjat trak kepada Jefri.

Jefri mengangguk lalu mencapai sebatang palang untuk berpaut, memijak satu para setinggi lutut dan melonjakkan dirinya ke atas. Lagaknya seperti sudah biasa benar memanjat trak. Jefri tersengih-sengih memandang ke bawah bila sudah berdiri di atas trak.

“Saya Amar Amir,” pemuda berhampirannya menghulurkan salam.

“Saya Jef Bahari. Panggil saja saya Jefri.”

“Saya Amar Zamiri!” Laung pemuda di belakang sambil meloncat turun. Dan tidak lama yang berbadan gempal sedikit turut berlaung, “dan saya Amar Nami!”

Jefri memandang ketiga-tiga pemuda itu sepintas lalu, “oh kamu bertiga ni adik-beradik?”

“Ya, kamilah pengembara kren tiga beradik!” lagi sekali Amar Nami bertempik di atas leher kren. Tempikkannya sungguh bersemangat serentak dengan satu depangan tangan dan mata terpejam.

Amar Amir dan Amar Zamiri tersenyum lebar. Jefri juga ikut tersenyum. Di atas leher kren pula, Amar Nami hanya sipu-sipu saja senyumannya.

“Jefri, mari ikut saya ke ruang tetamu,” Amar Amir memanggil Jefri dan berjalan terbongkok-bongkok melalui ruang kelegaan di antara leher kren dan pelantar trak. Berasakan tidak manis berlengah di trak orang, Jefri sepantas kilat mengekori Amar Amir hingga sampai ke kepala trak berkren iaitu tempat pemandu. Di belakang sebelah luar kepala trak itu terdapat dua buah bangku panjang yang dipasang saling berhadap. Sebuah bangku boleh memberi muat kepada kira-kira tiga orang dewasa jika duduk seperti pengantin di atas pelamin.

“Awak boleh duduk di sini, Jefri.”

Jefri mengangguk dan serta-merta melabuhkan punggung di atas bangku itu. Perasaan duduk di atas bangku itu tak ubah seperti duduk di atas bangku bas Pahang Lin Siong. Kusyennya jenis tugas berat. Sementara itu, Amar Amir mula membuka pintu tempat pemandu.

“Ayuh, kita bertolak sekarang!” Laung Amar Amir lalu terus masuk ke dalam kepala trak dan menutup pintu.

Dup!

Bunyi tutupan pintu itu sungguh padat, seperti bunyi tutupan pintu kapal selam. Ia langsung jauh berbeza dengan bunyi tutupan pintu kereta-kereta buatan tempatan yang sedikit pun tidak mampu dijadikan sebahagian memori indah dalam kehidupan. Boleh jadi ia dibina dengan teliti menggunakan gabungan material yang tepat dan harmoni.

Grummm! Grummm! Gruuummm! Pishhh!

Pedal minyak ditekan beberapa kali membuatkan enjin trak itu mengaum garang mengatasi segala bunyi dari belukar di sekeliling. Dan tidak lama, trak itu mula bergerak perlahan-lahan gagah menyusuri jalan raya. Trak berkren itu kembali menjadi sebuah pesta ria yang bergerak pada kira-kira 50 kilometer sejam.

Angin malam dingin yang menyapu-nyapu wajah dan tubuh Jefri membuatkan dia kesedapan di atas bangkunya. Mata Jefri mulai layu. Badannya membengkok. Deruman enjin yang bising sudah tidak menjadi gangguan kepadanya. Cuma sesekali kelopak matanya terbuka sedikit apabila trak melanggar lubang dan ular sawa jenis tebal.

“Tidur, bang? Awal lagi ni, jom la borak apa yang patut.”

Jefri tersentak dan serta-merta tegak badannya. Amar Nami dan Amar Zamiri kelihatan tersengih-sengih duduk di bangku hadapan. Entah dari mana muncul mereka berdua, Jefri kurang pasti. Sebagai seorang penumpang, dia nampaknya terpaksa akur dengan permintaan mereka berdua mengajak dia berbual. Jefri senyum kelat. Duduknya segera dibetulkan.

“Kami tiga-beradik dah tiga minggu mengembara dengan trak ini,” ujar Amar Nami membuka perbualan. Matanya yang sepet membuatkan wajahnya seperti sentiasa tersenyum.

“Oh tiga minggu? Jadi berapa lama lagi pengembaraan awak bertiga ni?”

“Kata abang saya, mungkin lagi sebelas bulan,” balas Amar Nami. Amar Zamiri di sebelahnya hanya mengangguk.

Jefri terdiam. Pandangannya dilontarkan ke luar trak. Sekawan bison yang berlari-lari di bahu jalan seolah-olah sedang mengejar trak membuatkan dirinya seperti di dalam satu percutian mewah. Biasanya pemandangan sebegitu hanya terdapat di Taman Negara Yellowstone.

“Mana awak bertiga dapat trak ni?” Tanya Jefri tiba-tiba.

“Abah kami kasi, “ jawab Amar Zamiri, “tapi sebenarnya kami tak minat sangat model Kato KA-3000 ni. Kalau diberi pilihan, kami lebih gemar model Liebherr LTM 11200. Fuh yang tu baru power! Tayarnya 18 biji! Kata orang tu puas hatilah kalau pakai.”

“Saya sebenarnya ada penyakit Skizofrenia,” potong Amar Nami.

Amar Zamiri tidak menghiraukan abangnya, “model ni pun boleh tahan juga, bang. Trak ni baru keluar bulan Februari lepas. Kelajuan maksimumnya boleh mencecah 60 kilometer sejam.”

Jefri bercelaru tidak tahu mahu dengar yang mana satu. Sementara itu, Amar Zamiri terus petah bercakap.

“Kemampuan menjulangnya pula boleh mencecah 106.9 meter. Kemampuan mengangkatnya abang nak tau?”

“Hah berapa?”

“Kalau abang nak tahu, sekejap ya. Saya masuk dalam ambil dia punya buku.” Amar Zamiri bingkas bangun dan berjalan deras masuk ke dalam kepala trak.

Jefri geleng kepala.

“Hah tadi apa kau nak cakap kat aku?” Tanya Jefri kepada Amar Nami yang sedang diam tertunduk bermain dengan butang kemejanya. Tingkahlakunya seperti seorang yang tersisih. Sementara itu, gaya percakapan Jefri pula mula berubah setelah menyedari mereka berdua seperti boleh dimakan.

“Saya ada penyakit Skizofrenia, bang.” Amar Nami menjawab lambat-lambat.

“Penyakit apa tu? Aku tak pernah dengar.”

“Abang tak baca Wikipedia ke? Ini penyakit yang tengah top sekarang ni, tau tak? Remaja-remaja sekarang gemarkan penyakit ini.”

Jefri lagi sekali terdiam. Kematangannya semacam tercabar.

“Ia sebenarnya sejenis penyakit jiwa. Mengikut kata pakar-pakar perubatan, pesakit Skizofrenia ni biasanya emosinya tidak stabil, fikiran bercelaru, sering mengalami halusinasi dan gemar memencilkan diri. Begitulah diri saya ini kalau abang nak tau.”

Jefri mengangguk beberapa kali walaupun agak kurang mengerti. Dia malas mahu bertanya lebih lanjut dan membiarkan saja Amar Nami bercerita.

“Lagi satu kalau abang nak tau, penyakit saya ini membuatkan saya ni ada beberapa karakter. Karakter saya tu bergantung pada keadaanlah. Sebenarnya bulan ni karakter saya sepatutnya seorang penulis novel remaja asmara yang gemar berbincang, tapi abang saya tak kasi. Dia pesan, sepanjang pengembaraan ini saya perlulah sentiasa di dalam karakter pengembara kren yang gembira.”

Jefri meraba-raba peha seluarnya. Kemudian dia menyeluk kocek seluarnya cuba mengeluarkan sekotak rokok. Setelah dikeluarkan, kotak rokok itu hanya direnungnya sejenak sebelum dilemparkan jauh ke tengah jalan. Dia tidak gemar rokok perasa paya.

“Oh ya, saya ada juga karakter seorang perokok yang kadang-kadang saya pakai bila ada keinginan di hati. Dalam karakter itu saya ni seorang perokok tegar yang gemar berfalsafah. Emmm, alangkah baiknya kalau dapat jadi karakter itu esok hari.”

Dup!

“Hah ni dia bukunya, bang!” Amar Zamiri muncul dengan sebuah buku di tangannya. Buku itu segera dihulurkan kepada Jefri. Di bahagian hadapan buku itu tertera gambar sebuah kren bertrak seperti yang sedang mereka semua naiki. Yang berbeza cuma warnanya.

“Abang cuba tengok muka surat lapan belas.”

Jefri mengikut saja kehendak Amar Zamiri. Buku itu diselak-selaknya mencari helaian kelapan belas. Tiba-tiba tangannya berhenti menyelak.

“Eh ada surat. Surat apa ni?”

“Oh itu surat wasiat,” potong Amar Nami, “abah kami kasi surat wasiat tu. Kalau abang nak baca, bacalah.”

Jefri merenung wajah Amar Nami dan Amar Zamiri. Mereka berdua gayanya seperti bersungguh-sungguh tidak kisah. Jefri terus mengeluarkan surat di dalam sampul berwarna coklat dan membuka lipatannya. Ia hanya sebuah surat yang bertulisan tangan.

“Tapi kalau abang nak baca, bacalah kuat-kuat sikit. Boleh kami tumpang dengar lagi sekali.”

“Ada lampu?”


++++++++

seronok bukan? cerita menarik dan terperinci sekali. boleh bayang dalam kepala subconciously. 

entry asal  diambil dari blog hilangpunca milik Firdaus Abdillah Hamzah atau lebih dikenali dengan Pipiyapong. blog ni yang aku baca zaman study dulu dan maybe salah satu penulis yang mencorak gaya penulisan aku sehingga kini. entry ni aku ambil dari salah seorang yang pernah copy dari blog pipiyapong ni dulu dulu.

namun blog pipiyapong ni sudah dibuang. semua karya yang ditulis telah dibukukan, dijual dan femes sirka 10-15 tahun lalu. dalam bentuk “Kacip”, 2009, “Cewah”, 2011 dan gabungan dua tu jadi “Kawah”, 2013 (bersama beberapa tulisan eksklusif) keluaran Neon Terbit. aku ada satu je buku yang hampir gaya dengan tulisan si Pipi ni, nama Nor Hisyam Mohamed tajuk “Kancil Man”, 2013.









lama aku mencari karya si pipi ni. rupa rupanya dia cuma memerlukan kata kekunci yang betul sahaja. entah apa yang aku taip sebelum ni haha. 

sejak beberapa bulan aku menjelajah ruangan internet untuk mencari buku buku si Pipi ni, namun satu je aku jumpa. Kacip je ada, tu pun orang minta harga sampai RM200 dekat Carousell. aduh tepuk dahi sendiri. 

cukuplah entri curi di atas menjadi pengubat rindu. 





A.M.

Sunday, June 09, 2024

“Eh, dah tiga dah?”


“Ha ah. kau baru tahu ke?”


“Bulan 3 tahun lepas Dieng, lepas tu Arjuno Welirang. Bulan lapan tahun lepas giliran Batur pulak”.


“eh Batur pun sekali? yang meletus hujung bulan tiga hari tu Batur lah?”


“Ya, kawan”.


“Alhamdulillah!”


“Lahh alhamdulillah pulak. tu gunung berapi yang ketiga dah meletus ni. sini dah tak selamat Budin. lama dah Republik Indonesia dah war war kan benda ni. kau je yang termangu. orang kampung dah berpindah lama dah kau je yang masih dekat sini. kau tahu-“


suara Muiz kian lama kian menghilang dari menyentuh cuping telinga si Budin. 


telefon pintarnya terjatuh ke lantai tanah. Budin memandang kehadapan, melihat langit biru yang lama kelamaan bertukar merah, dan kemudian diselimuti asap dan jelaga hitam dek kerana Gunung Batur memuntahkan larva merah jingga yang menggelegak, membakar semua aral yang melintang, sehingga menjadi debu dan hablur.


suara ibu ibu mencari bocah masing masing, terpekik pekik. si bapak sibuk mengusung barang di atas kenderaan untuk meninggalkan tempat itu. 


tampak feri feri berpusu pusu mengambil penumpang di Terminal Kartini. bot bot kecil pun tidak kurang ributnya. entah kemana mereka mahu pergi. dengan tangki minyak sebesar itu mana mungkin dapat menyeberangi Laut Jawa dalam masa yang singkat. 


Budin hanya mengeluh. kakinya menguis-nguis beberapa ketul batu batu kecil dibawah seliparnya. dia perlahan lahan merebahkan dirinya lalu terbaring diatas rumput, mempersembahkan wajahnya kelangit hitam.


tangan kanannya diangkat dan tapak tangannya dibuka, seakan akan ingin menggapai sesuatu, namun tidak wujud. 


Muiz menjerit jerit ingin mencuri perhatian si Budin, namun semua itu tidak diendahkan. Budin masih di alam khayalan.


Budin melihat telapak tangannya yang kasar. sudah lama dia menagih rezeki di bumi ini. berapa banyak kayu yang sudah dia belah dan ukir. berapa banyak luka dan selumbar serpih kayu yang menusuk jari jemarinya. hampir delapan tahun dia membawa diri dari tanah air dan menghempas tulang empat kerat hanya ingin mendapatkan duit supaya boleh dikirim ke orang tuanya. banyak banyak negara yang mempunyai kadar tukaran wang yang lebih tinggi namun entah kenapa bumi Jawa Tengah ini juga menjadi pilihan hati.


batu batu panas mula terbang diawangan akibat lontaran daripada mulut si Batur. batu batu tersebut ibarat peluru sesat, mengenai apa jua sasaran di dalam laluannya. habis ranap Desa Sinanggul Kecamatan Mlonggo dibaham api. 


Budin bingkas bangun dari pembaringan. merasakan nyawa sudah berada di hujung tanduk. dengan hati yang teramat berat, dia harus membuat keputusan.

tempat tumpah darah punca rezekinya itu menjadi pertaruhan.


Muiz duduk bertinggung di hadapan Budin. kedua dua tangannya memegang erat bahu sahabatnya itu. matanya memandang jauh kedalam jiwa si Budin.


“Sudahlah berharap pada tempat ini lagi. sudah tidak ada apa lagi untuk kita. marilah pulang.”


Budin hanya mengeluh. air mata di kelopak dikesat dengan lengan bajunya yang lusuh. beg galas yang tersedia lengkap pakaian dan dokumen penting ke Malaysia, berada rapi disampingnya, lalu digalas pada bahu. pandangan jauh dilempar ke arah Pantai Sekembu yang dulu ternyata mempunyai pemandangan matahari tenggelam tercantik, sekurang kurang dibenaknya, kini sudah tidak ada lagi.


Budin memandang Muiz yang sedia bersemangat.


“Jom!”


perjalanan ke Lapangan Terbang Soekarno Hatta dengan menaiki kereta sewa bermula. perjalanan selama lapan jam itu ditemani jelaga hitam dan debu halus. pelitup muka sentiasa disarung. ledakan gunung berapi disepanjang Lingkaran Api Pasifik yang meletus berleluasa sememangnya di luar jangkaan ahli meteorologi Indonesia. siapa sangka amaran manja pada awalnya bertukar menjadi seburuk ini.



suasana hiruk pikuk di Soekarno Hatta. Polri Indonesia seakan akan sudah tidak berfungsi. orang ramai berebut rebut menerjah pintu masuk utama lapangan terbang tersebut. Budin yang sudah siap membayar polri upahan masuk ke bangunan tersebut melalui lorong tikus, dan siap sedia disambut oleh pegawai lain di dalamnya.


“Malaysia!? Malaysia?!!” jerit pekik pramugara Garuda Indonesia.


“sini sini!”


“Ayuh mas!”


Budin mula berlari lari anak kearah lelaki kekar tersebut. tangannya tergopoh gapah meraba koceknya mencari wang untuk membayar tiket kapal terbang.


“ya udah pak. tiket flight sudah ditanggung oleh Malaysia. selamat pulang pak! ayuh masuk!”


Budin berpaling kebelakang, mencari Muiz. kelihatan Muiz berdiri tenang di sebelah pramugara lelaki tadi seakan akan tidak menghiraukan suasana yang sedang kacau bilau.


“Jomlah tunggu apa lagi?!”


“tak boleh Budin!”


“hah? apa?”


“tak boleh. aku tak boleh ikut kau!”


“ha? kenapa?”


“aku tidak wujud Budin! aku adalah khayalan kau!”


Budin terpegun. fikirannya hairan seketika. khayalan? apa ni? jadi selama ni apa? kenapa dia wujud? sudah berapa lama dia hidup dalam imaginasi?


“ayuh mas!”


bahunya direnggut kuat kehadapan. kelompok manusia saling bertolakan membuatkan Budin terus maju kehadapan. fikirannya celaru namun bukan itu prioritinya ketika itu. dia harus tiba di muka pintu pesawat dengan pantas.


“selamat datang bapak”


Budin yang masih tercungap cungap hanya mampu tersenyum sini. dia di dudukkan di kerusi 16C dengan kenikmatan tingkap di sisi.


soldadu Indonesia mengawal ketat di lapangan. sebarang pelampau ditembak serta merta. suasana tegang mengharukan sesiapa sahaja yang melihatnya.


imbauan terakhir sepanjang tempoh lamanya dia disini terus berlegar di fikirannya. persoalan tentang Muiz tidak berhenti menghentak ruang fikirannya, namun tidak dapat melayan benaknya akibat terlalu cape. Budin tidak dapat membuka matanya dek kepenatan yang teramat sangat.


melalui sisa matanya yang terbuka, dia melihat pesawat perlahan lahan meninggalkan kepulauan Jawa Tengah. Budin hanya tersenyum.


“Selamat tinggal Jepara…”


dia omong sendiri, lalu terlelap.






A.M.


Thursday, May 02, 2024

Satu petang jumaat kedua dalam bulan Februari, 11 orang Kampung Langkasedih masuk kedalam pembentung yang terletak di hujung muara Sungai Kacip. tujuan tidak lain tidak bukan untuk mencari anak perempuan si Jasman yang berumur 6 tahun, yang dikatakan tidak pulang sejak pukul 10 pagi tadi (sekarang sudah pukul 4.30 petang).


Pasukan mencari diketuai oleh Jasman sendiri, dan dianggotai oleh 10 orang lelaki lagi yang pelbagai umur.


Pembentung ni tak pernah orang datang jenguk tapi rombongan ni tetap datang ke sini sebab sudah habis satu kampung diorang geledah, tapi anak perempuan si Jasman masih belum ditemui. 


“We had turned every stone and pebble already!” kata Khairul Munawer kepada pasukan itu. masing masing melihat Khairul Munawer dengan mata yang terkebil-kebil. tatkala ditanyakan kembali apa maksud kata-kata tu, Khairul Munawer hanya menepuk dahi, lalu mereka meneruskan perjalanan ke pembentung Sungai Kacip.


Muka pembentung yang besar seakan-akan terowong. Badrol sudah kira. 5 kaki panjang dan lebar. “Muat ni 3 orang sekali masuk jalan berbaris-baris, bahu ke bahu,”orang kampung mengangguk faham.


“we absolutely gonna do this! we will find the girl even how complicated it will be!” Badrul jerit.


Jasman dan orang kampung ramai ramai menyebut “insyaAllah!”.


“Lah yang tu paham pulak?!”, Khairul Munawer seakan marah. 


pasukan mencari terus masuk kedalam pembentung tanpa menghiraukan si Khairul Munawer.


Tatkala hampir 300 meter kedalam pembentung, cahaya matahari seakan-akan sudah jauh, digantikan dengan kegelapan dan bau busuk yang hanyir. kesemua 11 orang tidak menutup hidung mereka walau diasak bau yang buruk sebegitu disebabkan oleh ada contest, siapa tutup hidung dia kalah. ni semua kerja si Hashim.


“Karimah! Karimah!” Jasman menjerit memanggil nama anaknya. lantang suara si Jasman menyebabkan gema di dalam saluran pembentung tersebut. gema tersebut terus bergerak ke hadapan, merayap pada dinding-dinding pembentung dan hilang sehingga sayup sayup kedengaran. 


“ada lagi ye budak umur 6 tahun nama Karimah pada dasawarsa 2024 ya?” Kamil dan Rohaizad berdekih-dekih. 


Jasman terdengar akan hal tersebut lalu menjengahkan matanya yang bulat kearah dua anak muda tersebut. 


“ini semua kerja bini aku lah. aku nak nama lain sebenarnya!”


orang kampung: ooooo begitu.


Khairul Munawer cuba bertanya, “Jadi apa nama yang kau nak sebenarnye?”


Jasman cuba membalas, “aku nak nama anak aku Nur Adilia Kristina Ilyana Mur-


ketika Jasman cuba menghabiskan nama idaman anaknya, mereka diserang satu bau tengik, bau bangkai yang mencucuk hidung, menyebabkan semua orang terpaksa menutup hidung, kecuali Hashim.


muncul di hadapan mereka satu lembaga hitam berbulu yang basah dan sangat berbau busuk. fizikalnya tinggi sehingga 7 kaki, mulutnya lebar dan besar menampakkan hampir semua giginya yang tajam, termasuklah tiga gigi geraham belakang rahang.


“tingginya you!”, jerit Badrol yang sememangnya obses dengan measurement. 


orang kampung: shhh!


Jasman dan pasukannya kaget. air longkang bercampur buangan busuk yang memekat setinggi paras betis melambatkan proses memasang pasak untuk mulakan larian. mereka mula berpeluh.


“Tunggu!”, suara garau milik lembaga itu bergema. suaranya kasar, seakan bercampur suara laki laki dan perempuan. 


“Nama aku Burowo dan aku boleh merubah rupa menjadi ketakutan terbesar kalian hahaha!” Burowo menyeringai, menampakkan semua gigi taringnya. kedua-dua belah tangannya diangkat, tubuhnya direndahkan seakan-akan ingin mula mengejar. kaki kirinya sudah diheret kebelakang dan kaki kanannya kehadapan, membentuk posisi memecut.


ya dia ingin kejar orang kampung tu.


tetapi running stance nya itu pegun. dia tidak bergerak.


“ketakutan terbesar? macam mana tu?”, Zawawi mengajukan soalan kepada Burowo.


“aku rasa dia cover semua jenis takut kot?” Rohaizad mencadangkan sesuatu.


Burowo kehairanan.


Kamil: aku takut kalau apa yang aku usahakan selama ini, tidak membuahkan hasil! what if my best, isnt good enough?


Azizi: aku takut kalau Ibu aku mati! Tolongla dia sorang je aku ada!


Azizi terduduk lalu menangis, dan ditenangkan oleh Badrol.


Burowo: eh aku, ehhh, bukan takut macam tu, ak-


Hashim: Aku takut aku ni jenis yang terlalu baik sebab selalu letak prioriti orang lain sebelum aku!


Uwais: Aku takut bila aku dah sambung belajar kelak, dah jadi pakar, terus dunia ni kiamat! kau takut tak?


orang kampung: takutttt


Burowo: woi kejap woi!


Malik: Aku takut! doktor cakap aku mampu hidup 10 tahun je lagi dengan penyakit ni! macam mana aku nak bagitahu bini aku?!


orang kampung: Allahu… (sambil menggeleng-gelengkan kepala)


Firdaus: Aku takut aku kantoi bini dua!


orang kampung dan Burowo: (menjeling kearah Firdaus)


Jasman: Aku takut aku tak dapat bawak anak aku balik! nanti bini aku ingat aku ni laki loqlaq! korang tak tahu bini aku macam mana!


Burowo mula pening kepala. dia menarik-narik rambutnya lalu terduduk.


Khairul Munawer: aku takut kalau aku-


Burowo: dah sudah! ambiklah anak kau nama Karimah ni! aku pening lah dengan korang ni!


Karimah muncul daripada belakang Burowo dan berlari lari kearah Jasman.


“Daddy!”


“uuuu…daddyyyyyy…,” orang kampung mengumpat si Jasman sambil tangan ke bahu, mata keatas.


Jasman mendakap Karimah dengan erat.


Akhirnya mereka menemui Karimah dan dapat pulang dengan sukacita.


sementara itu di rumah Burowo,


“macam mana hari ni bang?” tanya Puan Burowo.


“entahlah awak. saya tak faham lah dengan manusia sekarang. pelik pelik la perangai diorang ni. macam macam jenis ketakutan ada. saya je takde. saya ni dah tak relevan ke?” luah si Burowo.


“dah 2024 bang. dah berkembang. teknologi, tekanan dan masalah sosial dah lain. agaknya realiti hidup diorang tu lagi menakutkan daripada awak. sabar la ye”


Burowo hanya merengus.









A.M.



Tuesday, January 22, 2019

Cerpen

Zainuddin beransur ansur memperlahankan kenderaannya di tengah laluan utama masuk ke perkarangan hospital. matanya melilau mencari kelibat orang yang dinantikannya. tidak lupa kepada orang yang lalu lalang. risau juga dia kalau terlanggar orang awam. jam sudah menunjukkan pukul 10.05 malam.


"ah mana awak ni?"


tiba tiba matanya tertancap kepada seorang gadis yang berbaju kurung warna ungu  gelap. bunganya  besar besar. cantik, dipadankan pula dengan tudung bawal labuh litup dada. di tangan kanannya dibimbit lipatan kemas kot putih. tangan kirinya kemas memegang steteskop warna merah darah ikan.

mulutnya terkumat kamit sambil kepalanya terteleng teleng seakan isyarat bagi zainuddin takut takut tidak perasan akan dirinya di celah orang ramai.


brek kaki ditekan, brek tangan diangkat, gear ditolak ke huruf 'P'. Kelihatan seorang pemuda tersenyum dari dalam kereta. gadis bertudung ungu tadi tergopoh gapah menuju kearahnya. sengaja diparkir jauh keretanya untuk melihat gelagat buah hatinya itu.


pintu kereta ditutup rapat. gadis bertudung ungu merangkul kot putih dan steteskop rapat kedadanya. tubuhnya disandar pada kusyen kulit kereta itu, mengeluh keletihan selepas seharian berhempas pulas untuk menghabiskan waktu sistem tagging itu. rangkulan dilonggarkan lalu dia memusingkan tubuhnya ke arah zainuddin.

"maaflah lambat hari ni. entahlah si Dr Adham tu suka sangat buli saya. benci tau. tapi alhamdulillah hari ni saya dapat jawab soalan Miss Wan! hehe" ujar Hayati dengan perasaan gembira.


Zainuddin yang pada asalnya sedang asyik menghidu saki baki wangian yang dikenakan Hayati dengan hati teruja, tersedar daripada lamunannya.

tetapi dia tidak berkata apa apa. dibiarkan sahaja buah hatinya itu berceloteh. keretanya mula dipacu keluar dari kawasan hospital untuk menghantar Hayati ke apartmentnya.


lagu Yuna - Lullaby di dendangkan melalui corong radio keretanya. mereka berdua diam. hanya Yuna bersuara. adakala terdengar suara Hayati menyanyi bait bait lagu itu sambil padangannya dilempar keluar melayan perasaan. kot putih dan barangan lainnya sudah dilempar ke kerusi bahagian belakang. kali ini dia berpeluk tubuh.

Zainuddin hanya mampu menjelingkan matanya sambil memandu. walau dalam keadaan diam mereka berdua sangat faham dengan perasaan sendiri. setiap detik diisi dengan rasa cinta namun dibiarkan sepi untuk dinikmati dalam diam.


"Terima kasih awak. jumpa lagi esok, boleh? nanti saya akan call awak lagi nanti ya?"


Zainuddin hanya tersenyum.


pintu kereta ditutup rapat. Hayati menuju ke lobi apartment, mengambil beberapa surat dari kotak pigeon nya sebelum hilang dari pandangan Zainuddin.


Zainuddin mengeluh panjang. Hayati yang sangat dicintainya itu bakal menjadi isteri orang dalam 2 bulan lagi. bakal suaminya sudah pasti adalah pilihan keluarganya.

namun atas kecintaannya keatas satu sama lain mereka berjanji untuk tidak menghubungi antara satu sama lain apabila mimpi buruk itu dimaterai kelak.

bagi mereka biarlah waktu yang singkat ini cukuplah menjadi saksi cinta mereka. tidak banyak yang dipinta mereka, cuma sedikit waktu untuk melayari cinta yang entah kemana, yang kedua duanya tahu semua akan membawa hati yang duka lara.

Zainuddin meninggalkan tempat itu dengan hati yang hiba, seperti yang sebelumnya.





Sunday, November 24, 2013

Kembali

“…tidak semua yang engkau lihat di dunia ini, akan menjamin kebahagiaan engkau. Semakin engkau hidup, semakin engkau membesar, semakin itu lah engkau akan mula mengenal realiti. Dan saat itulah kau akan bersetuju dengan aku, bahawa, dunia ini tidak cantik, Joseph. Suara suara garau ayahnya memenuh-“

DUMMM!!!

Pintu ditendang dari belakang. Daniel laju menerpa kearah aku. ada satu bungkusan kain perca berwarna kelabu, erat dipeluknya. Matanya melilau lilau ke sana sini seperti seorang yang terperangkap di dalam sebuah lubang, mencari jalan keluar sebelum tertancap ke arah aku.

“Pedro!, cepat! Ambil semua barang kau! Lekas!”

Aku terpinga pinga. Ah. Tidak sempat lagi.

 Aku telan dalam dalam rasa kekesalan sebelum bingkas bangun, menggumpal sejumlah kertas yang berada dihadapan ku dan memasukkannya kedalam poket kecil disebelah kiri seluar. Pen milik ibu ini aku sisip di poket belakang.

Daniel cekap memaut lengan kanan ku dan mendorong aku keluar daripada rumah itu, menolak aku kehadapan. Dia kini berada di belakang aku. Menolak nolak aku dengan tangan kirinya. Tangan kanannya sibuk memeluk ‘habuan’ kami di pagi itu.

“Pedro! Jangan toleh belakang! Laju laju!”

Aku dengar satu persatu arahan Daniel. Jantungku kencang. Mungkin kah kali ini kami selamat? Mungkin kami akan menjadi ahli baru penjara. Ataupun lebih teruk menjadi mangsa sindiket perdagangan manusia. Idea idea buruk seakan bertelagah didalam kepala aku. Aku hilang fokus. Aku takut!

Aku berlari selaju yang boleh. Sekali sekala aku toleh kebelakang untuk melihat Daniel. Ya. Dia masih berada di situ, berlari bersama aku. Kepalanya berdarah, dan kelihatan seperti ada sebilah pisau tegang tertusuk tegak di belakang bahu kanan Daniel.

Daniel… kau...-

“kau nampak tak paip air ke bumbung tu?! Lekas!”, jerit Daniel

Aku cepat cepat meluncur laju kearah paip besi usang berkarat, dan melonjakkan tubuhku dengan penuh tujahan kaki kiri daripada belakang. Tanganku bersedia menggapai batang besi yang menembusi paip buruk itu.

Aku melompat. Tapi fikiran aku masih berada dibawah, menanti Daniel. Aku risau kalau kala-
Ah persetankan semua itu!

Batang besi aku gapai kemas dengan kedua dua belah tanganku. Terpercik sedikit air yang berada di dalam paip lama itu hasil daripada hujan semalam ke arah wajahku.
Celaka.
Aku panjangkan tangan kanan ku kearah jerigi besi yang seolah seolah telah bersedia untuk menyokongku untuk mara ke atap. Jerigi yang kelihatan buruk itu kuat untuk menahan juntaian tubuhku. Risau juga aku, takut takut ada skru lama terpelanting keluar daripada alur yang haus.

1, 2, 3!
Sekelip mata, aku sudah terbaring diatas zink buruk. Ah. Angin pagi. Nyaman melalui lubang hidung, turun laju ke paru-paru, merawat tubuhku yang tercungap cungap kelaparan oksigen. Dadaku kembang kecut cuba memenuhi ruang udara yang masih tertinggal. Mataku melilau. Daniel! Mana Daniel?

Aku menoleh kekiri. Dia tiada. Di saat aku cuba menoleh kekanan,tiba tiba bungkusan kelabu itu kelihatan melambung dari arah bawah dan tepat mendarat diatas dadaku.

BUKK!!

Boleh tahan juga perit penangan bungkusan ni, membuatkan aku terbatuk beberapa kali. Aku terdengar bunyi seakan akan bunyi orang yang sedang bersusah payah untuk memanjat naik keatas bumbung. Tiba tiba, ada satu tangan melambai lambai kearah aku dari hujung zink.

“tolong aku budak bertuah!” jerit Daniel.

Aku lekas berlari kesitu dan mendapatkan tangan Daniel. Dengan sisa tenaga yang masih berbaki aku menarik Daniel keatas. Kami berdua tercungap cungap. Dada Daniel aku lihat kembang kempis berselang seli menahan lelah.

“hoi kau! Turun! Kalau kau tak turun sekarang, aku bunuh kau! Hoi budak bodoh!” kedengaran suara menjerit jerit dari bawah.

Daniel melihat kearah aku, dan tergelak kecil. Aku yang kehairanan melihat Daniel, mula terketawa dengan gelagaknya. Lolongan orang yang sedang kemarahan dibawah itu kami persetankan. Kami berdua tersenyum puas.

Hah!
Akhirnya, kami selamat.

Xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


Sinaran mentari awal pagi mula menyirami bahagian muka ku yang tersasar daripada dilindung dinding kotak kecilku ini, membuatkan aku terjaga daripada lena semalam yang memenatkan. Kelihatan Daniel berada di hujung zink, sedang  mengambil angin pagi sambil mengelap ngelap darah yang mengalir dari bahunya. Ada sebilah pisau kecil terletak betul betul bersebelahan dengannya. Pandangan aku semalam tidak salah. Daniel tercedera.


Aku menghampirinya, dan duduk mendakap lututku. Tangan kanan ku menguis nguis pisau yang masih berlumuran darah Daniel.

Daniel melihat perlakuanku, lalu dia tersenyum.

“kita akan tempuhi semua ni bersama sama, tahu. Kalau dulu mak dan ayah ada untuk kita. Sekarang kita ada kita sahaja. Aku ada kau..”

Kain yang berada di tangan kanannya dilepaskan. Tangannya itu dikesat beberapa kali ke bajunya, lalu dia memegang bahuku.

“dan kau ada aku”.

Aku hanya mampu tersenyum kepadanya. Pandanganku dilempar ke arah Morro da Bananal. Satu bukit renek yang terletak betul betul berhadapan dengan Morro da Formiga. Suasana nyaman di awal pagi musim panas begitu menyegarkan mana mana manusia yang tinggal di Rio de Janeiro. Sudah hampir dua bulan aku hidup di sebelah utara di salah sebuah kawasan setinggan di lereng bukit di Kota Samba ini. Maknanya sudah hampir dua bulan aku menjadi pelarian, mencuri makanan, memecah masuk rumah orang. Maki hamun manusia sudah kalis ditelinga aku. Tangan aku ini (aku menggenyeh kesan karat batang besi semalam tapak tangan kananku dengan ibu jari kiri) sudah tidak bersih lagi. Tubuhku sudah mula dihiasi parut parut luka ‘hasil’ daripada ‘cara hidupku’ selama ini. Ah. Aku sudah tidak sakit lagi. Aku sudah biasa.

Aku menoleh kebelakangku. Monumen Christ the Redeemer tegak berdiri tegak di puncak Gunung  Corcovado. Hela nafas lembut keluar daripada paru paru ku. Daguku di tongkat ke lututku kembali. Mataku terpejam.  Rambutku meliang liuk diusap usap angin yang dibawa daripada Morro da Bananal, membuatkan aku berasa tenang. Pada masa yang sama, aku mula merindui ibu bapaku. Aku memeluk erat lututku.

Aku menyisip poket belakang seluar jean lusuhku itu untuk mengambil pen yang aku ‘sembunyikan’ semalam ketika melarikan diri semalam. Pen berdakwat biru, diletakkan didalam sebatang tiub kecil berwarna putih berjenama Rolas. Struktur binaan pen itu aku amati dengan teliti. Dimana lekuknya, dimana punatnya, bagaimana dia berfungsi  dengan kebijaksanaan manusia bertoleransi dengan besi halus dan menggunakan keupayaan elastik spring kecil untuk mewujudkan satu pen mekanikal seperti  Rolas.

Sebenarnya, fikiran aku hilang ke arah lain, jauh menusuk sel sel otakku, membawa aku kepada satu memori yang tidak aku ingin kenang.

Xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Pintu rumah Carlos hancur, hasil tembakan peluru yang diludah berkali kali daripada mulut AK 47, lalu Carlos menyuruh isterinya Maria untuk bersembunyi bersama anaknya di dalam bilik tidur. Lantas dia bergerak kebelakang meja dan duduk disitu. Nafasnya yang tercungap cungap dikawal agar tidak dikesan orang yang menceroboh rumahnya. Carlos menyeluk saku seluarnya, dan mengeluarkan telefon bimbit.

Dia menekan lama butang 9, iaitu butang panggilan pantas kepada polis yang sedia ada didalam tetapan telefonnya.

Beep beep!

Carlos menarik nafas. Isyaratnya telah sampai ke Pejabat Polis. Lalu dia menekan butang menu dan membuka aplikasi mesej. Ibu jarinya menekan pantas naik turun butang di telefonnya, mencari satu nama di dalam senarai itu. apabila menjumpainya, dia pantas membuka ruang berbual, dan menaip mesej kepada orang tersebut.

Daniel. Balik  ke rumah sekarang. Selamatkan adik kamu

Butang ‘hantar’ telah ditekan. Carlos menyandarkan badannya ke sisi meja. Nafasnya menjadi sedikit lega. Peluh di dahinya dilap menggunakan lengan kanannya. Carlos menggapai cermin yang terletak diatas meja, lalu diletakkan di hadapannya.  Dia mahu melihat apa yang berlaku disebalik meja persembunyiannya itu.
Ada tiga orang lelaki, berpakaian kasual, lengkap bersenjata. Masing masing memegang AK 47. Mengacu kesana sini. Salah seorang daripada mereka bersuara.

“Carlos! Mana kau! Aku tahu kau ada dalam rumah ni! Baik kau keluar sekarang! ”

Tiba tiba lelaki itu menembak bertalu talu kearah meja dan sofa. Bunyi bising dan bingit tembakan senapang buatan Russia itu menyebabkan  telinga Carlos berdesing. Dia menahan nafas, dan cuba untuk tidak panik. Dia masih diam

Lelaki tersebut mula bergerak kearah bilik tidur, iaitu tempat persembuyian Maria dan anaknya.  Carlos memerhatikan perbuatan lelaki itu. matanya membulat. Nafasnya kencang. Dia tidak boleh berdiam diri lagi!

Maafkan ayah, anak anakku. Maafkan aku, Maria.
Aku sayangkan kau..

Carlos bingkas bangun dan membaling telefon bimbit kearah lelaki tersebut lalu tepat mengenai kepalanya. Dua orang lelaki yang tercengang melihat kejadian itu terus mengacu senapang kearah Carlos untuk menembaknya, tetapi perbuatan mereka dihalang oleh lelaki itu. Fabio ketawa menyeringai.

“apa kau nak daripada aku hah?!”, Carlos menjerit kearahnya.

Fabio tersebut mula mendekatinya. AK 47 ditangannya dilempar ke sofa, lalu dia menyisip ke belakang seluarnya dan mengeluarkan sepucuk Glock 18. Dia tersenyum sambil mengisi peluru kedalam kelongsong pistol.

Namun senyumannya itu bertukar bengis lalu menembak kedua dua kaki Carlos, membuatkan Carlos jatuh menggelupur di lantai. Betis kanannya seakan akan hancur. Kaki kirinya pula tidak dapat digerakkan. Dia mengerang kesakitan. Lelaki itu tadi menghampiri Carlos, dan mencangkung dihadapannya.

“aku diberitahu, rumah kau ni, ada dua anak muda. Tak silap aku, salah seorangnya, bisu. Kan? Itu lagi seronok. Kah kah kah!”

Dua orang pengikutnya  turut sama menyeringai kejam. Carlos menjadi marah. Sangat sangat marah. Tetapi dia tidak mampu berbuat apa apa.

“maafkan aku ya Carlos. Aku perlukan dua orang tu untuk sindiket aku. Kalau tak, miskinlah aku.” Fabio tersenyum menampakkan giginya yang kuning.

“Rafael, geledah bilik itu!”

Salah seorang daripada pengikutnya mula bergerak ke arah bilik tersebut.

“minta izin dulu ya. Kahkahkah!” Fabio ketawa berdekah dekah. Lalu muncung  pistolnya ditekan ke kepala Carlos. Jarinya bergerak ke picu, dan menarik kebelakang. Satu tembakan, dan habis terburai kepala Carlos berhamburan ke dinding.

Rafael menendang pintu bilik. Maria yang telah bersedia dengan pisau ditangannya, laju menerpa kearah Rafael. Dia berjaya menikam bahu kanan Rafael membuatkan lelaki itu mengerang kesakitan. Dia menolak Maria lalu jatuh ke sisi katil. Dengan menggunakan tangan kirinya, pisau yang agak besar itu dicabut laju daripada bahunya. Rafael menerpa kearah Maria, lalu tangan kirinya bergerak kebelakang kepala Maria dan menghenjut rambutnya. Maria menjerit kesakitan. Rafael nampak jelas peluang ini lalu menikam Maria berkali kali, membuatkan wanita itu lemah, dan rebah ke lantai. Maria melihat anaknya itu yang sedang bersembunyi dibawah katil. Dia tersenyum. Lalu matanya tertutup.

Pedro menangis. Hidupnya berasa seakan akan hancur. Melihat ibu bapanya dibunuh dihadapannya. Dan dia. Dia tidak dapat membuat apa apa untuk membela mereka. Tiba tiba, Pedro merasakan lantai tempat persembunyiannya terbuka, lalu dia terjatuh kedalam satu lubang kecil. Lalu dia merasakan ada seorang memeluknya.

Daniel.

Dia memeluk erat adiknya, lalu membawa adiknya keluar daripada laluan rahsia itu.

Xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

"maafkan aku Pedro. kalau aku sampai awal sedikit, ibu tentunya sudah ada untuk kita sekarang" kata Daniel sambil melabuhkan punggungnya di hadapanku. dia kelihatan sugul. sudah tentu peristiwa itu memeritkan jiwanya. sama seperti aku. di tangannya ada bungkusan kelabu semalam. kain bercompang camping kain perca berwarna warni yang sering kali menjadi pembantu setia kami dalam setiap 'operasi tangkap muat' kami di rumah rumah orang.

aku hanya tersenyum dan menjempul ibu jari kananku, menandakan "tidak mengapalah, semua sudah berlaku. dan aku kuat".

Daniel sibuk membuka bungkusan di hadapanku. dibentangkan kain tersebut, menayangkan hasil tangkapan kami. ada roti sandwich, ada cebisan cebisan daging, ada 3 batang saderi, kain selimut, sos dan beberapa lagi bahan makanan kecil. kami berdua tersenyum. banyak juga habuan kami.

Daniel menyisip kebelakang tangannya, seolah olah ingin mencapai sesuatu. sebaik sahaja kembali ke kedudukan asal, dia meletakkan satu bungkusan kecil dihadapan aku.

"nah. untuk kau. buka lah". suruhnya sambil sibuk memotong roti sebelum meletakkannya ke atas sehelai surat khabar.

aku melihatnya dengan perasaan teruja. aku mencapainya, dan membuka bungkusan tersebut.
aku tersenyum. hatiku terasa besar. di tanganku ada tiga batang pen; dua biru dan satu merah. ketiga tiga mereka berjenama pen kesukaanku. Rolas. Rolas de Santes nama penuhnya.

Daniel berhenti mengunyah roti. matanya tertancap kepada aku. "semalam aku sambar benda tu untuk kau. aku tahu kau suka menulis. gunalah. walau kau tidak boleh bercakap, jangan biar otak dan tangan kau bisu. tahu?".

aku mengangguk. surat khabar di hadapanku, aku koyak sedikit di bahagian hujung, dan aku tulis sesuatu di atasnya. Daniel hanya memerhati perbuatanku dan dia kelihatan sedikit terkejut apabila aku menghulurkan cebisan tersebut kepadanya.

dia membukanya.

'obrigado'

Daniel ketawa kecil. aku hanya menunduk malu seraya menghulur tangan untuk mengambil roti dihadapanku.
"malam ni, kita cuba nasib di Santa Hores pula. aku nak, kau pula yang masuk ke dalam rumah. aku akan jaga ekor kau. boleh?" tanya Daniel.

Santa Hores terletak di sebelah barat Morro da Formiga. satu kawasan perumahan setinggan di lerengan bukit, sama seperti di sini. cumanya disitu populasinya lebih ramai dan taraf hidupnya lebih tinggi daripada tempat ini. Perancangan abangku itu boleh dikatakan mencabar. ada satu jalan kecil, da Castelnuovo yang menghala ke arah Santa Hores yang dipenuhi anjing gila dan sindiket dadah.

aku mengangguk bersahaja.

fikiranku penuh dengan kerisauan dan strategi untuk malam ini, namun langsung tidak menjangkakan bahawa operasi di Santa Hores bakal mengubah hidupku selama lamanya.

xxxxxxxxxxxxxxxxxx

Hujan lebat di Santa Hores. Kilat sabung menyabung mengerikan langit malam ini. Aku teruja melihat garis cahaya yang pantas, tajam turun ke bumi berselang seli dengan dentuman guruh.

Jantungku bagaikan ingin luruh.

Daniel menghulurkan tangan melalui satu ruang tingkap yang hilang sekeping cerminnya. Bawah lengannya sudah luka luka berdarah dek bergesel dengan geriji jendela yang tajam. Dahinya berkerut dan basah bercampur peluh dan hujan. Ada ketika dia memandang aku, dan segaris senyuman muncul dari hujung bibirnya.  Aku hanya membalas senyuman dengan senyum yang tidak mahu senyum. Sejujurnya, aku sendiri tidak faham apa maksud senyuman Daniel. Aku hanya duduk mencangkung di belakangnya, mataku liar melilau memerhati sekeliling takut takut operasi kami dilihat orang. Di bahu ku sedia tersidai kain kelabu kami.

Klik!

Tombol pintu berjaya digodek Daniel. Pintu ditolak perlahan. Bunyi gesekan engsel berkarat pintu tersebut cukup menggerunkan kami. Daniel memandang aku sebelum mengarahkan aku untuk masuk ke dalam rumah, sementara dia berada di luar, menjadi pengawal pintu. Ditangannya digenggam erat sebatang paip besi buruk yang masih tertancap paip siku dihujungnya.

Aku menyusur kedalam rumah dalam posisi membongkok.

Lantai kayu. Ah. Aku benci lantai kayu. Satu bunyi gesekan sudah cukup untuk meletakkan nyawa kami dihujung tanduk.

Aku bergerak perlahan sambil mataku sibuk mencari langkah yang paling selamat untuk sampai ke destinasi. Sekali sekala aku memanjangkan tengkuk ku untuk mencari sasaran.

Peti sejuk. Itu dia peti sejuk. Itu yang aku cari.

Ruang rumah yang tidak seberapa gelap dek sinaran bulan purnama memudahkan proses pergerakan aku. Ditambah dengan ruang tamu yang tidak begitu besar menyebabkan jarak aku daripada peti sejuk itu tidak terlalu jauh. Beberapa langkah sahaja aku sudah sampai di muka pintu besar peti sejuk tersebut.

Celaka!

Pintu peti sejuk itu ada loceng loceng yang diikat kemas tergantung dihadapan.

Kenapa? Kenapa perlu ada loceng?  Kenapa?!

Aku menelan air liur kelat. Geram. Nafas ku berdengus. Tidak ada cara lain lagi. Aku harus beranikan diri untuk bangun dan memegang  loceng tersebut untuk mengelakkannya daripada berbunyi sebelum membuka pintu peti sejuk.

Kain kelabu aku hamparkan disisi peti. Tangan kananku, kupanjangkan ke atas untuk menggapai loceng ter-

“Pedro!”

Aku terkejut. Aku duduk kembali seraya berpusing dan bersandar ke pintu peti sejuk. Daniel menerpa kearah aku dengan wajah pucat lesi. Dia memegang bahuku dan cuba berkata sesuatu, tetapi tidak jelas. Tangannya berpeluh. Belum pernah aku tengok Daniel sebegitu cemas. Dia menarikku daripada dapur ke ruang tamu dan menyuruh aku bersembunyi di bawah kerusi panjang yang bersandar di dinding rumah. Kedengaran suara beberapa lelaki dewasa menjerit jerit. Bunyi percikan air dipijak manusia sayup sayup dihujung telinga.

“nanti kalau ada apa apa terjadi, kau gerak perlahan lahan, bentuk sofa ni, sehingga ke muka pintu tu (jari telunjuknya menghala kearah pintu). Kau tak boleh keluar sekarang sebab di hadapan sana sudah ada dua orang menunggu kita”

Aku mengangguk faham. Mataku terasa panas. Entah mengapa aku menangis. Daniel melihatku dengan pandangan yang dalam.

“kau. Kau hidup baik baik”. Dia mengusap pipiku dengan ibu jarinya. Ada senyuman kecil di hujung bibirnya.

Tangannya menekan kedua dua bahuku, mendorong aku untuk masuk dan meniarap dibawah sofa.
Percikan air semakin jelas, dan semakin dekat. Jantungku berdegup pantas. Daripada bawah sofa kelihatan tiga bayang bayang lelaki menerpa masuk ke dalam rumah. Mataku membulat. Aku cemas!

BUKK!

Daniel tersungkur ke lantai. Batang paip besi yang digenggamnya tadi sudah jatuh bergolek dan berhenti dihadapanku. Daniel memandang kearah aku. Tiba tiba ada satu sepakan padu hinggap ke tengah perut Daniel menyebabkan darahnya tersembur keluar daripada mulut. Daniel meringkuk mengerang menahan senak. Tidak cukup dengan itu, lelaki tersebut membaringkan Daniel dan duduk diatas dadanya, sebelum rambut belakangnya ditarik dan dihentak kepalanya beberapa kali ke lantai.

Darahnya terpercik. Mulut lelaki itu tidak berhenti henti menyumpah seranah Daniel. Dia bangun berdiri dan berundur kebelakang seraya menyuruh konco konconya menyepak padu Daniel bertubi tubi. Lelaki tersebut bergerak kearah aku, dan tunduk untuk mengambil batang paip besi Daniel. Buku limanya penuh dengan darah abangku itu.

“Afastar!”  tengking lelaki tersebut mengarahkan orang orangnya berundur ke belakang.

Kedua dua belah tangannya menggenggam erat batang besi tersebut dan dihayunnya keatas melebihi  paras kepalanya. Matanya tajam menikam mata Daniel yang sudah bengkak berdarah.

“Morrer!”

Jerit lelaki tersebut sebelum menghadiahi kepala Daniel dengan satu pukulan laju batang besi ditangannya.
Suasana menjadi hening. Hanya bunyi hujan yang semakin lebat memenuhi ruang itu. Lelaki itu tercengang. Nafasnya tercungap cungap. Paip besi ditangannya dilepaskan ke lantai. Dia mengarahkan orang kanannya untuk membawa tubuh sejuk Daniel keluar daripada rumah.

Aku menjadi sangat marah dan geram. Aku tidak boleh bertindak membuta tuli. Daniel mahukan aku hidup. DANIEL MAHUKAN AKU HIDUP!

Aku merangkak perlahan kearah pintu setelah melihat lelaki itu beransur kedapur rumahnya sebelum membuka peti sejuk. Setelah berhempas pulas bersama air mata kemarahan, aku terlepas daripada neraka kecil itu, dan berlari sekuat hati, hilang ke dalam hujan yang lebat.

                          Xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Angin sejuk yang datang daripada celahan bukit Morro da Borel dan Morro da Casa Branca yang menyusup sehingga ke tulang menyedarkan aku daripada tidur di setiap dinihari. Setiap kali aku terjaga, setiap kali itu lah aku terdengar lunak sayup sayup suara manusia berkumandang yang menenangkan, datang dari arah utara Tijuanca. Bukan pada waktu itu sahaja. Aku kira, hampir lima kali sehari aku mendengar suara tersebut. Suara yang melaungkan kata kata yang aku rasa, sangat asing. Bahasa apakah itu? apa yang mereka laungkan?

Memori berdarah itu masih ligat berputar di dalam kepalaku, seakan akan filem yang diputar main berulang ulang kali biarpun sudah enam hari ia berlaku. Kata kata Daniel masih terngiang di benak kepalaku.
‘rumah kecil ‘ yang aku bina diatas bumbung rumah manusia, ku lipat rapi dan ku sandarkan ke dinding cerobong asap. Aku kembali ke hujung atap, dan duduk disitu. Memeluk tubuhku. Kemas.

Laungan lunak suara manusia di waktu subuh itu menyamankan hatiku yang parah. Mataku terpejam. Dan aku menangis.

Aku berasa tenang.

Aku bingkas bangun dan berdiri, mendepakan tangan dan menghirup puas udara pagi yang masih bersih, sebelum dicemari bunyi dan manusia.

Hah!

Ku sisip kemas ketiga tiga Rolas pemberian Daniel di kocek belakang seluar ku. Hari ini aku tekad untuk mencari suara apakah yang menenangkan aku setelah sekian lama.

Carlos, Maria, Daniel.
Ayah, Ibu, Abang.
Aku akan teruskan hidup ini untuk menjadi kalian.
Eu falto o, eu te amo. Todos voces.

Aku mula mengorak langkah.