Sunday, November 02, 2025

selama aku merayau di media sosial, aku terjumpa tiga teori kegemaran aku berkenaan dengan adik beradik. dan tiga tiga benda ni betul betul buat aku rasa reflektif. 

1. proses bertumbuh setiap adik beradik tak akan sama walau membesar di dalam rumah yang sama, bermain di ruangan tamu yang sama, makan di meja makan yang sama, hatta mempunyai ibu bapa yang sama. kerana setiap giliran adik beradik yang dilahirkan dalam fasa yang berbeza. anak sulung dilahirkan ketika fasa ibu bapa tengah struggle untuk stabilkan hidup, si ibu sedang berusaha menjadi ibu yang pertama, dan si ayah sedang bertungkus lumus untuk provide keluarga itu, dan juga menjadi bapa buat pertama kalinya. pendekatan, layanan dan gurau senda mungkin berbeza dengan anak yang kedua tatkala ibu bapa sudah mulai rasa lega dan tenang. kelahiran yang seterusnya disediakan ruangan yang cukup dengan atmosfera keluarga yang lebih stabil. bila baca balik, setiap fasa yang ibu bapa lalui membentuk keperibadian anak anak. sebab itu lah anak sulung ada perangai macam tu, anak kedua macam ni, dan seterusnya. mereka adik beradik, tetapi mereka tidak sama. barangkali sebab itu kita bukan sekadar dilahirkan ibu bapa, kita juga dibentuk oleh masa yang membesarkan kita. 

2. ada orang pernah bagitau tak bila last day, siblings kau yang betul betul rapat sudah mula menjauh, sudah mula tidak bertelefon, bercerita bertanya khabar. kalau dulu selalu bergaduh tentang hal hal kecil, nuget tak cukup, remote tv kena sorok, berebut giliran tengok tv, bergaduh siapa nak jadi bos siapa nak jadi kuli. naik basikal sama sama, main halaman rumah yang tidak berapa mewah tapi ada. masa itu dirasakan masa kecil tidak berpenghujung, tiba tiba dewasa datang mengheret jiwa yang pernah anak anak ke dalam dunia berasingan. ada yang ke bandar, ada yang masih menjalani kehidupan di kampung. agenda masing masing yang sudah tidak lagi sama lagi menjauhkan jarak yang ada. orang yang kita sangka paling saling mengenali, perlahan lahan bertukar menjadi seorang asing yang kita sendiri jarang hubungi. rahsia dan luahan hati pada suatu masa lalu menjadi kenangan terindah masing-masing yang bakal dilupakan. semalam aku video call dengan abang aku, aku kira sudah lama aku tidak melihat wajah dan dengar suara dia. mengetahui teori ni, aku bersyukur dengan apa dan siapa yang masih aku ada. 

3. pernah dengar Three Sibling Curse? dalam ramai ramai adik beradik, akan ada seorang yang akan sempat hadiri semua pengebumian adik beradiknya. akan ada seorang pula yang tak sempat hadiri mana mana pengebumian adik beradiknya, dan akan ada seorang yang pengebumiannya sebab yang lain meninggal terlebih dahulu. untuk yang tidak sempat menghadiri mana mana funeral tu, aku maklum, abang sulung aku yang telah pergi, dan paling awal meninggalkan kami. aku rasa aku takkan jadi mana-mana antara dua lagi. sebab aku ni ada banyak penyakit dan aku tak rasa aku akan hidup lama. firasat aku mengatakan yang adik aku akan jadi last sekali. selalu aku sayu mengenangkan kesunyiannya ketika itu. tapi itu semua firasat, dan janji Allah hanya milikNya.

aku pernah ajukan benda ni kepada wife aku, dan dia rasakan yang aku yang akan pergi last, sebab dikatakan akulah yang paling kuat antara semua. tragically, i dont want that. 

adik beradik bukan hanya sekadar pertalian darah. ia adalah salah satu pelengkap suasana ketika kau membesar. 

dan bila suasana itu hilang, tanpa kita sedar ada sesuatu dalam jiwa kita turut hilang pergi bersamanya.




Mofar Rahman