Sunday, April 07, 2024

“ye ada apa encik?”’ sapa seorang aunty cina berusia lingkungan 60-65 tahun.


“oh saya cari lampu loket atau lampu gantung untuk porch rumah saya. nak cari yang mur mur je aunty”.


“oh kami ada jom jom!”


dia terus bersemangat. satu tapak demi satu tapak dia harungi dengan laju. bawa aku ke bahagian lampu lampu hiasan. bermacam aneka bentuk dan warna dia persembahkan untuk aku. rambang mata sekejap.


ada bentuk hexagon, ada jenis design bulat, ada jenis kon legap, ada jenis kaca, ada jenis beranting, ada jenis rekabentuk dawai yang dipateri ke dalam bentuk geometri yang pelbagai dan menawan.


aku fikir memang cantik lampu macam sangkar ni, mentol terus nampak, surrounding jadi lebih cerah berkuasakan mentol 12 watt pun sudah memadai. tapi bila fikir balik, kalau ada sesawang macam mana. aku ni dah lah jenis pemalas haha. nak naik tangga lagi. emmm takpelah. aku kuburkan sahaja.


aku memilih satu bentuk lampu berbentuk kon, powder coated kelabu dengan warna dalaman berwarna putih salji. pangkalnya di letakkan kayu berbentuk donat berwarna kuning air. harganya pun tak mahal. didatangkan sekali dengan mentol 8 watt berwarna soft white.


sedang sibuk dia berceloteh aku terpandang beberapa jenis lampu raya yang berkelip kelip. nampak ceria dengan bentuk masing masing. ada yang jenis bulan dan bintang, ada jenis ketupat. ada jenis berjuntai dan ada yang jenis berselirat.


dan mata aku tertancap pada lampu yang jenis berjuntai ni. anak mentol dia berbentuk silinder kecik kecik, wayar hitam dia tampak lebih tebal daripada lampu yang lain. berapa harganya? emm RM25.00. 


“ambil lah lampu raya tu. murah saja ma. yang ni dah nak habis. 30m, 10m, tinggal yang 4m tu je”


“oh takpe takpe takpe. saya malas ni nak naik tangga pasang lampu bagai. kalau saya beli pun untuk anak anak je. saya dah malas nak beraya haha” aku berseloroh.


raut wajah aunty tu berubah. dia pun terduduk sambil menghela nafas panjang, menikmati tujahan angin daripada kipas, menyelamatkannya dari bahang 41 darjah celsius.


“I setuju la dengan you. sekarang ni I pun dah malas nak raya. apa yang I buat ni untuk anak anak I dan cucu je. nek, nak tanglung! kita beli tanglung. nek nak lampu! kita beli lampu. kita dah malas dah, dah tua dah. tapi sebab nak suruh generasi bawah kita ni happy kita layankan saja, kan?”


“betul tu aunty. kalau bukan sebab anak anak, saya pun dah malas haha”


“jadi nak tak lampu ni?”


“saya bayar yang pendant jela aunty ya. nanti yang liplap ni kalau saya tidur lepas tu saya mimpi baru saya beli okey?”


“haaa okey baik baik. eh mimpi? wooii!”


haha.


aku beredar dari tempat tu.



dekat rumah aku terfikir, memang aku dah malas untuk raya. bergambar sedikit pada pagi syawal untuk kenangan, melawat saudara mara, jamah makanan serba sedikit, and be done with it.


family aku pula takdelah havoc sangat raya. takde lah orang datang ziarah sampai malam malam. sampai ke tuan rumah nak tidur pun dia masih tak reti nak balik. takde lah hari hari kena masak, sebab orang selalu datang rumah. orang datang, makan je apa yang ada dan blahh. malam bila maghrib kunci pintu sesiap.


tapi takkanlah sebab semangat raya aku yang menipis ni aku harus miripkan pada anak anak aku. diorang deserve to be happy, menikmati keindahan syawal. dan  takde orang lain dah yang boleh bakar semangat tu, melainkan aku sebagai parents. somehow aku yang kena rayakan diri sendiri, untuk enlight anak anak aku. 


jadi hari ni aku terpacak lagi di kedai lampu tu.


aku hanya senyum pada aunty tu.


dia mengangguk tanda faham.


so, 


untuk anak anak Abi.






A.M.