Assalamualaikum
Setelah lelah bergelut dengan pesakit yang semakin ramai dan tidak putus putus, aku mengambil keputusan untuk keluar sekejap daripada kancah pembantaian otak aku. Daripada terus menerus meneran enjin pemikiran aku sampai naik lesu aku dibuatnya, baiklah aku lari sekejap.
Daun pintu bilik forensik sementara aku tolak dengan sedikit kudrat. Bau asap rokok terus menerpa kedalam lubang hidung aku, seakan mahu memaksa aku menghidunya. Busuk betul.
"Bos. Maaf bos" ujar salah seorang perokok tegar disitu.
Ada antara mereka yang pura pura sembunyikan puntung pembunuh nyawa itu di celah kelangkang mereka seolah aku tidak tahu siapa mereka. Aku tahu kau perokok, kau tak payah lah nak berahsia.
"Beres!" Aku dengan nada sinis sambil menjempul ibu jari ke arah mereka. Lalu aku berlalu dari situ, ke hujung longkang sana. Aku duduk bertinggung dan dongak kepala melihat langit. Awan berarak di petang itu membuatkan aku berasa sungguh kagum.
"SubhanAllah", kalimah yang aku titip di pinggir bibir.
Aku teringat zaman usrah dahulu. Disaat otak kau dah penat, dah malas nak berfikir tentang dunia, pada ketika itu lah aku disorongkan dengan ilmu agama yang aku rasa perlu untuk aku survive dekat dunia ini. Ada pengajian tajwid. Ada sesi sirah nabi junjungan mulia. Ada sesi berbual tentang hal hal akhirat, berbincang tentang tauhid, berdiskusi tentang riyadhus sholihin. Duduk beramai ramai dalam lingkungan bulatan, baca alQuran, perbetulkan kesalahan tajwid sesama sendiri. Ah. Rindu semua itu.
"Marilah duduk, kita beriman sebentar"
Antara ayat keramat yang aku butuh untuk dengar merempuh gegendang telinga aku, membuatkannya bergetar sama frekuensi dengan hatiku. Ayat yang aku sangat kagum. Duduk bersama, keluar daripada dunia, bincangkan tentang keperluan hidup, kukuhkan apa yang ada untuk biar terus terpateri di dalam benak dada.
Tapi kau tahu, benda itu sudah tiada di sini. Sudah tiada di tempat aku. Dan mungkin juga sudah tiada di dalam hati aku.
Disini sudah tiada yang datang kepada aku, bertanya tentang iman aku, bertanya tentang mutaba'ah amal aku, bercerita kepada aku tentang sirah Nabi Muhammad, kisah para sahabat dan para solihin. Sudah tiada yang menepuk bahu aku, bercerita tentang tujuan manusia diwujudkan.
Tiada lagi yang berkata," kalau bersedih, berlarilah kepada Tuhan mu"
Dewasakini semua harus dilakukan sendiri, dan akhirnya bosan sendiri. Tiada lagi teman yang dapat menyentuh hati. Susah sendiri, sedih sendiri. Bodoh dan bingung pun sendiri. Kena kuatkan diri untuk terus bangun dan melawan cabaran masa kini.
Kadang kadang diri berasa kosong, tetapi tiada tempat yang ingin dituju, tempat untuk berkeluh kesah, walau dari hujung pemikiran sana ada sahaja yang suruh menuju Tuhan, tapi kau tahu, aku jadi malas. Biarkan diri bergelumang dengan masalah, tiba masa aku lari sejauh jauhnya. Akhirnya duduk bertinggung dengan fikiran kosong. Sama macam sekarang.
Sungguh aku rindu ketika iman ku terasa tenang. Bila disebut kisah tentang kebesaran Tuhan aku meremang teruja, bila disebut kisah Rasulullah aku menangis kerana rindu.
Sekarang semua sudah jadi batu. Sekarang sudah kering, sekering keringnya. Hanya ada sedikit ilmu di dada untuk jadikan pendayung untuk menulusuri perahu cubaan dunia.
Aku harus mencari Tuhan kembali. Betul, Dia ada disekeliling aku, tetapi hati aku tidak basah untuk merasainya. Itu adalah silap aku.
Semoga aku terus istiqamah. Semoga aku rajin untuk kembali kepada Allah. Semoga aku dijauhkan dari sifat malas. Semoga aku boleh jadi Imam yang terbaik untuk bini dan anak anak aku.
Yang merindukan masa dahulu
Mofar Rahman