Wednesday, March 14, 2012

Si Tua Itu

Assalamualaikum w.b.t


cuaca hari ini, tidak lah sesejuk semalam. tengok di skrin telefon samsung saya, -4. alhamdulillah. tidak lah saya menggigil sangat.

suasana di stesen bas Port Saida pada waktu pagi tidak pernah kosong. selalu sahaja ada bas yang singgah untuk menaik dan menurunkan penumpang. tetapi pagi ini, sebanyak banyak bas yang singgah, tiada pula bas saya yang lalu. tunggu sahajalah. lagipun masih ada beberapa minit sebelum kelas bermula.

saya suka memerhati sekeliling. siapa di sekeliling saya, siapa di kanan kiri saya. lelaki perempuan, siapa sahaja. saya lebih cenderung untuk buat begitu. tidaklah saya ini matanya liar, bergerak sepanjang masa. entah. memang saya diajar abah untuk memerhati sekeliling dan belajar daripadanya. belajar apa? abah saya diam.

dari jauh, saya memerhati seorang lelaki tua. tinggi? tidak lah tinggi sangat. dia memakai winter coat berwarna biru petakpetak. tidak dibutangkan baju itu. orang  tua itu memakai baju lengan panjang berwarna hitam. seluarnya lusuh. dan tangan kiri nya memegang tongkat. tongkatnya pula tidak lah tongkat eksklusif seperti yang saya nampak sebelum ni. tongkatnya hanyalah seperti sebatang kayu yang agak panjang, seakan akan diambil dari dinding rumah. dia berjalan ke arah stesen bas, ke arah saya.

bukan lah saya ini seorang yang jakun melihat seorang orang tua yang bertongkat berjalan keseorangan ke stesen bas. tidak pula saya merasa jelek dengan apa yang saya lihat itu. saya lihat wajahnya. dia memakai kaca mata yang bercermin photogrey (yang apabila kene cahaya matahari, atau over silau, dia jadi warna gelap). dia ada jambang yang memutih di sepanjang rahang kanan dan kirinya. lebat. kemas. dan tajam pada dagunya. apa yang menarik perhatian saya, wajahnya tenang.

dia melalui saya, dan saya membiarkan dia naik bas terlebih dahulu daripada saya. tongkatnya dikukuhkan ditangga pertama, dan digagahkan dirinya untuk masuk ke dalam bas, lalu duduk di kerusi sebelah kanan pintu. saya naik, dan berdiri tidak jauh dengannya. saya memerhati pakcik tua itu.

sepanjang perjalanan, lelaki itu tenang. adakalanya dia senyum. dia membuka jamnya dan di hembus nafasnya ke muka jamnya itu beberapa kali. lalu dilapkan dengan lengan bajunya. dia senyum, dan memakainya kembali. selepas memakainya, orang tua itu memusing musingkan cincin emas di jari manis tangan kirinya. dia senyum, dan memandang ke luar tingkap. nampak kerut wajah di ekor matanya, yang berpenjuru pada satu sudut. saya pasti, setiap urat disitu, mewakili satu cerita miliknya.

bas lalu dihadapan kawasan gereja. dia membuka topinya, dan berdoa sesuatu. mulutnya kumat kamit. matanya memandang kearah gereja. saya pun menoleh kearah gereja itu. struktur gereja itu saya amati dari puncak palang salib, sehingga ke anak tangga terakhir di kaki gereja. dan saya memandang pakcik itu kembali. matanya masih terlekat di gereja tersebut.

setelah beberapa lama, tibalah di destinasi saya. saya turun, dan laju mara ke kelas.

setiap orang, membawa cerita masing masing. cerita yang orang lain tak tahu, hanya lah kita. cerita yang sedih, cerita yang perit, gembira tawa. semua dicantum-cantumkan membentuk satu wajah pada hari ini. setiap orang, ada zaman gelapnya, iaitu zaman yang diharapkan dia boleh melupakannya, tetapi dia tidak mampu. yang dia mampu, hanya lah menjadi dia pada ketika ini dan meneruskan hari dengan mencuba mencari peluang baru di dalam rezeki nyawa sehari suntuk itu.

dan.

dia itu, adalah saya. atau mungkin anda juga?