Friday, July 17, 2026

Hari ini aku teringat tentang ada satu cerita yang Ummi pernah ceritakan pada aku, sewaktu Abah baru pulang dari umrah tahun 2023 dulu.


sehari selepas pulang dari Tanah Suci, Abah menyusun hadiah dan buah tangan yang dibelinya di sana. dia lipat sejadah dan susun cantik bertingkat. kekacang dan kurma ajwa di susun dalam bekas tupperware yang ada ruangan khas, bersama kismis hitam dan kacang cerdik (pistachio) dan macam macam lagi. sebelah hidangan tu ada sebotol air zam zam dan 4 gelas kecik.


semua ini adalah untuk adik adiknya datang melawat.


namun setelah lebih dua minggu menantikan, tiada seorang pun yang datang. Abah kemas balik apa yang disusunnya, air zam zam dan gelas kecil disimpan kembali,


dan meneruskan hidup seperti biasa.


dia tak bagitahu siapa siapa pun pasal ni. Hanya Ummi yang perhatikan. hanya Ummi yang merasakan kekecewaan yang tidak pernah diungkap. mengetahui cerita ini membuatkan aku rasa sebal. dan tidak pernah menyangka Abah aku pernah merasa sesunyi itu. 




Mofar Rahman.