Eulogi.
Sesuatu yang dibaca pada hari pengebumian seseorang. Kita orang Melayu jarang mengamalkannya.
Hari ini, aku akhirnya menulis satu.
Sudah dua minggu aku cuba. Setiap kali jari menyentuh papan kekunci, kepala aku jadi kosong.
Aku tak tahu nak bermula dari mana.
Mula-mula aku fikir nak ceritakan kronologi pemergiannya. Kemudian aku rasa lebih baik aku tulis tentang apa yang dia dah buat untuk aku. Lepas itu aku fikir, mungkin patut aku ceritakan tentang hidupnya.
Tapi setiap kali nak mula, aku kebuntuan.
Sebab jasa dia terlalu besar dalam hidup aku.
Apa yang aku tahu, aku cuma nak ucapkan…
Terima kasih.
Terima kasih sebab rumah A.Nik di Manek Urai sentiasa menjadi tempat persinggahan kami sekeluarga setiap kali dalam perjalanan dari Pasir Mas pulang ke Gua Musang waktu aku kecil dulu.
Terima kasih sebab bagi aku main kereta sport koleksi Shell Helix setiap kali kami singgah.
Terima kasih sebab selalu ada untuk aku waktu di MRSM. Sudi ambil aku dari sekolah, bawa aku tinggal di rumah A.Nik, teman aku hari-hari.
Terima kasih sebab bagi aku dan adik-beradik main permainan di komputer tempat kerja A.Nik.
Terima kasih sebab bagi nafas baharu kepada rumah Nenek, menjadikannya lebih indah untuk kami semua pulang.
Terima kasih sebab menjadi sinar dalam mata Abah sewaktu A.Nik datang melawatnya di hospital.
Dan… banyak lagi.
Aku harap aku sempat mengucapkan terima kasih untuk setiap perkara yang pernah A.Nik lakukan dalam hidup aku.
Aku harap A.Nik tahu yang A.Nik sangat penting dalam hidup aku.
Aku juga minta maaf.
Maaf sebab selalu teragak-agak nak telefon, nak bertanya khabar, walaupun naluri aku hampir setiap hari menyuruh aku berbuat begitu.
Sesalan itu masih menghantui aku sampai hari ini.
Hari ini, masuk minggu kedua—Jumaat tanpa A.Nik sujud menyembah Tuhan.
Ada jiwa yang terlalu indah untuk terus hidup lama di dunia ini, lalu Tuhan menjemputnya pulang agar bersemadi di sisi-Nya.
Selamat berehat, A.Nik.
Mofar Rahman.