Tuesday, November 26, 2024

Sesampai aku di perkarangan pejabat pagi tadi, aku terlihat satu sosok yang aku rasa, aku kenal. seorang perempuan berjubah ungu gelap sedang mengelap air mata yang tiada henti di pipi di samping seorang lelaki. ya aku kenal dia ni. dia classmate aku sejak sekolah menengah, bersama berjuang di universiti dan berpisah arah tika masuk alam pekerjaan. 

aku dekatinya dan kami saling bertegur sapa.

selepas beberapa ketika aku mendapat tahu bahawa ayahnya telah meninggal pagi tadi akibat kemalangan dirumah. dapur gas yang terbiar tidak dicucuh api segera memenuhkan ruang dapur dengan wap dan jelaga gas. ketika pemetik api dihidupkan, api mula berinteraksi dengan gas gas liar tadi lalu mencetuskan letupan, memakan diri seorang lelaki berumur hampir 60 tahun itu, habis terbakar 90% tubuhnya. setelah berjuang 3 hari, lelaki itu meletakkan busur juangnya lalu meninggalkan dunia yang fana.

teringat arwah abah.

bila kematian datang menyinggah Abah, kami seakan akan sudah bersedia. Abah sudah berusia lanjut dengan tubuhnya yang sedia membawa banyak penyakit kronik. malah aku ingat lagi 3 tahun lepas aku pernah suarakan kegusaran aku terhadap adik beradik aku yang Abah ini ibarat bom jangka masa. bila bila sahaja boleh meletup. dan janji Allah itu benar, dan Abah kembali kepadaNya ketika tidur. tiada siapa disisinya ketika itu. Ummi sedang khusyuk menunaikan solat sunat Dhuha. di tengah ruang tamu yang sepi itu, diatas kerusi malasnya, Abah meninggalkan kami buat selama-lamanya.

bila kematian datang menjengah tanpa amaran seperti arwah ayah kawan aku tadi tu, aku rasa hati jauh lebih sebal dan menyedihkan.

apapun, kehilangan orang yang disayangi tetap meninggalkan kerinduan yang amat dalam.

hari ni, tanggal 26/11 cukup sewindu sudah arwah Abang meninggalkan kami.

al fatihah (dibaca) untuk jiwa yang pernah meninggalkan kita tapi tidak pernah jauh dari hati.








A.M.