Sedang ralit aku meregangkan tulang belikat di satu tengahari. mengantuk semalam setelkan kes banduan di Tanah Merah pun tak habis lagi.
“Nanti tolong setel kes decomposed yang baru sampai ni. kami nak ke Tanah Merah lagi hari ni. ada kes suspek bunuh”
Allahu. malas betul. tapi nak buat macam mana. dah memang aku je yang available time tu. sorang lagi mc sebab adhesion colic, sorang lagi pergi ke airport hantar family dia ke umrah. tinggallah aku dengan seorang attachment.
aku masuk ke bilik mayat. satu plastik hitam berisi satu mayat manusia yang membusuk. dikatakan si mati berumur 58 tahun, pencen askar. sudah ada rekod perubatan, namun si mati hidup keseorangan semenjak kematian isteri tahun lalu. berdasarkan rekod penyakit dan jenis ubatan yang dimakan, aku syak si mati telah mengalami serangan jantung yang membawa kepada kematiannya ketika itu. namun tiada saksi pada ketika nyawanya dicabut Izrail. tiada ahli keluarga disampingnya. last seen alive was 2 days ago by his own daughter. oleh sebab keadaan mayat dan cara kematian, polis menjadi serba salah untuk memberi punca kematian, seterusnya menyerahkan mayat kepada aku untuk diuruskan.
bau mayat yang telah membusuk sekurang-kurangnya dua hari itu mula memenuhi jabatan. pegawai penyiasat/Investigating Officer (IO) sudah sudah mulai runsing dan berpeluh. IO kena ada sepanjang proses bedahsiasat.
aku buka zip beg mayat polis. daripada hujung kaki ke hujung kepala, dan keluarkan mayat dengan bantuan PPK dan MA.
satu jasad seorang lelaki yang telah kembung dalam keadaan tertiarap. kulitnya menghijau, kepalanya bertukar hitam. rambutnya mudah tertanggal. bau busuk mayat akibat rembesan gas ammonia semakin tajam. IO nampak menjauh dan tak senang duduk.
aku periksa mayat tersebut. terdapat banyak gugusan telur telur lalat yang masih belum bertukar berengga pada bahagian tubuh. celah kangkang, belakang leher, dalam telinga. aku balikkan mayat ke posisi baring untuk mulakan bedahsiasat.
mukanya kemek dengan mata terbuka dan, tersembul telah membusuk. bibirnya menjuih kembung dan lidah terjelir. perut kembung dengan gas. kakinya separa terlipat. hampir seluruh tubuh mula menunjukkan tanda marmar (marbling). kulit kulit pada bahagian tubuh mula tertanggal.
aku mulakan hirisan daripada proses mastoid pada bahagian belakang telinga kanan dan bawa kehadapan pada takik sternum. seterusnya mula pula pada proses mastoid belakang telinga kiri dan bertemu kembali di takik sternum membentuk hirisan huruf Y. daripada titik pertemuan, aku belah dadanya turun melalui dada, turun ke abdomen, mengelak pusat yang membonjol dan berhenti beberapa sentimeter daripada bahagian ari-ari.
kawan aku yang baru sahaja menghantar keluarganya di airport bergegas masuk ke dalam bilik postmortem dan ambik pisau PM40.
“aku setelkan kanan, kau setelkan kiri?”
“alright”
aku mengambil tooth forcep dan menyepit kulit dada dengan tangan kiri, dan mula menyiat otot dan kulit sampai ke tulang sternum menggunakan PM40 dengan tangan kanan.
proses menyiat agak terganggu disebabkan mayat telah membusuk. lemak lemak pada bahagian bawah kulit mula mencair menjadi minyak. aku harus menggunakan kain kasa untuk memegang flap kulit supaya tidak terlepas.
member aku mula maju kebahagian abdomen. tiba-tiba dia tercucuk bahagian selaput kulit lapisan perut dan menyebabkan usus yang dipenuhi gas berpusu-pusu keluar daripada ruang tersebut. gas yang menyebabkan abdomen kembung meletus seakan belon dicucuk jarum. nasib baik kami sempat mengelak, kalau tak kena direct dah ke muka.
IO berlari keluar. terdengar seorang lelaki muntah muntah.
aku dengan kawan aku saling menjeling. bedahsiasat diteruskan.
ketika sedang ralit menyiat bahagian tulang rusuk, satu lagi letusan gas mampat yang terbentuk bawah kulit meletus. kali ni kami tak sempat mengelak. nasib baik pakai mask. habis cermin mata aku terlekat sisa otot yang telah mati. pada mask kawan aku tampak jelas sisa percikan darah yang membusuk.
IO berlari keluar lagi. muntah lagi.
proses bedahsiasat diteruskan sehingga selesai. kulit kepala disiat dan tengkorak dibuka memuntahkan sisa tisu otak yang membusuk, namun tiada bukti pendarahan atau kecederaan. sampel tulang rusuk untuk DNA pun telah diambil untuk mengecualikan pemalsuan identiti. sampel hati dan ginjal pula untuk mengesan kehadiran dadah di dalam tubuh, jika ada.
sangkaan aku benar. memang si mati mengalami serangan jantung akibat salah satu daripada salur darah koronarinya mengalami pengerasan (sclerosis) dan sumbatan jenis atheroma hampir lengkap.
“PENYAKIT SALUR DARAH KORONARI”
itu yang aku tulis dalam permit mengubur kematian. penerangan hasil bedahsiasat kepada keluarga sudah aku berikan. semua berpuas hati tanpa soalan susulan.
selepas mandi dan bersedia untuk pulang, aku. bersandar pada kerusi. badan terasa letih. jari jemari aku masih berbau mayat walau sudah memakai glove beberapa lapis, bilas dengan sabun beberapa kali. aku mengeluh sendiri.
aku terfikir,
“adakah ini yang aku nak selama ini?”
hujan di Sepang tempoh hari. suka sangat. dah lama tak jumpa hujan. Kota Bharu so hot weh tak tahu lah Tuhan nak ajar apa. hadap jelah.
A.M.
