Saturday, January 01, 2022

Titik Mula

 Selepas 4 tahun menakluk ruang antara aku dengan isteri akhirnya hari ni telah tiba. dipujuk tanpa henti juga bersama ugutan (hahaha) akhirnya Sophie tidur seorang diri dalam biliknya sendiri. 


menemani anak sulung aku itu tidur. baringnya membelakangi aku, menghadap ke arah kanannya. rambut kusut di muka aku sisip ke belakang telinga. belakang kepala aku kucup, bau stroberi. siku kecilnya aku betulkan. tangan kecilnya aku genggam mesra. 


aku selitkan bantal peluk warna merah darah ikan dirangkulannya. buat jadi peneman baru. biar anakku nyenyak tidur seperti batu. 


terasa sebak juga tatkala aku bangkit, menangkat badan perlahan meninggalkan anak ku sendirian. melangkah perlahan kearah pintu membiarkan tubuh kecil keseorangan ditemani cahaya suram. 


katil kami jadi sedikit kosong. biasanya ada kakak, tidur bagai nak berperang bersama adiknya. kini adiknya Ben semakin memenuhi ruang, tak perlu lagi tersedar akibat kena kaki kakak di kepala.


tiada lagi suara minta digaru belakangnya 

tiada lagi suara merengek minta ditepuk punggung sampai tertidur 

tiada lagi adegan budak mengigau menangis, bertempik, bangun tiba tiba, kencing depan pintu.


semoga ini menjadi titik mula untuk kamu bertumbuh dan gapai apa sahaja yang kamu inginkan.


Abi sayang kamu.





Mofar Rahman