Khalid Johari meletakkan mesin rumputnya ke lantai. gedegang juga bunyi besi penyokong dibawah enjin. mana tak bunyinya, Khalid Johari meletakkan mesin nya itu dengan kasar sekali. semua mata yang tengah menghirup kopi, membaca surat khabar, mematahkan karipap kepada dua, malahan tidak kurang juga beberapa orang tengah berbincang tentang kekalahan pasukan bola sepak Arsenal kepada Kelantan semalam, memandang tepat kearah Khalid Johari.
Khalid Johari mengurut ngurut bahu kanannya. sekali sekala dia cuba mematahkan lehernya sendiri. krukk kraakk! begitulah bunyi patahan tulang Khalid Johari. mata orang di kedai Kopi Pak Mat Hebat tadinya fokus kearah Khalid Johari, kembali kepada kedudukan asal. yang mematahkan karipap, patahlah karipap, yang tengah bercakap pasal bolo, bercakap lah mereka pasal bolo.
Khalid Johari menarik kerusi yang tersorong dibawah meja. sreeeetttt. dia langsung duduk tanpa mengira perasaan orang lain ketika itu. diambil kain pengelap peluh dilehernya itu, dan dikibas kibas kemuka. panas katanya. kain itu berwarna putih, tetapi agak kecoklatan di hujungnya akibat sudah dua minggu tidak berbasuh. dia tidak kisah semua itu. dia juga tidak sedar kain libasannya itu memutar ligat seperti kipas helikopter, melempar peluh peluh yang telah diserap kepada orang orang sekeliling, menyebabkan ada yang mencemuh, menutup muka, tidak kurang pula mengeluarkan payung. tetapi Khalid Johari tidak kisah. begitulah tegasnya pemuda bernama Khalid Johari ini.
"teh satu, kurang manis, biar susu tu nampak sikit je bawah tu. oke Pak Mat?" Khalid Johari memesan air teh seperti memesan ayam panggang.
"baik bos", balas Pak Mat yang ketika itu sedang menyusun buah melaka di bahagian kueh mueh.
air teh telah tiba dimeja. Khalid Johari, seperti hero filem tamil, dia tidak tergopoh gapah meminumnya. di pegang kemas hujung sudu kecil yang telah tersedia didalam cawan teh tersebut dengan jari telunjuk, jari hantu dan ibu jarinya. Khalid Johari mengacau teh dengan wajah yang agak serius dan dalam pergerakan nombor 8 berulang kali. dia tidak pasti mengapa dia mengacau air dalam arah yang sedemikian.
TV mengeluarkan bunyi bunyi yang tidak disenangi Khalid Johari.
"Politik je semua ni" Khalid Johari mengeluarkan kata kata dengan suaranya yang kasar itu. orang kampung berasa pelik, sebab rancangan TV sekarang adalah drama keluarga dan tidak pula mengandungi unsur tersebut.
Khalid Johari terus bersikap tegas, dan menghirup teh nya itu perlahan lahan kerana panas.